Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap satu skim pelaburan mesin layan diri minuman dan snek yang disyaki tidak wujud selepas menerima 54 aduan daripada mangsa yang mendakwa ditipu.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, jumlah kerugian dialami mangsa dianggarkan lebih RM5.2 juta dan reta-rata mereka dijanjikan pulangan bulanan lumayan serta pelbagai manfaat lain palsu.

“Mangsa-mangsa mengesyaki janji yang diberikan oleh syarikat itu tidak benar kerana sehingga kini mereka tidak pernah menerima sebarang bayaran dividen atau pulangan seperti dijanjikan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurut Hishamuddin, sebilangan pelabur menyatakan bahawa walaupun terdapat mesin layan diri yang disediakan oleh syarikat berkenaan, jumlahnya tidak sepadan dengan jumlah pelabur yang menyertai skim tersebut.

Malah ada pelabur langsung tidak mengetahui sama ada mesin layan diri yang dijanjikan benar-benar wujud atau tidak.

“Kami menggesa agensi siasatan berkaitan untuk menyiasat secara menyeluruh skim pelaburan ini kerana modus operandi syarikat ini sangat licik. Mereka berselindung di sebalik perjanjian untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

“Jangan biarkan sesiapa pun terlepas atau perkara ini akan terus berleluasa, jutaan ringgit kerugian akan berganda andainya tidak ada sebarang tindakan,” tegasnya.

Sehubungan itu, MHO akan mengadakan sidang media bersama mangsa bagi mendedahkan lebih lanjut mengenai isu ini dan mendesak tindakan segera diambil. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here