PUTRAJAYA – Dalam usaha untuk terus mempromosi budaya pembelajaran sepanjang hayat di Malaysia, pelbagai inisiatif dan alternatif telah diperkenalkan termasuk Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu atau APEL (Accreditation of Prior Experiential Learning).
Untuk makluman, inisiatif itu dipelopori dan diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia atau Malaysian Qualifications Agency (MQA) yang merupakan proses sistematik melibatkan identifikasi, dokumentasi dan penilaian pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu.
Hari ini, MQA terus mengorak langkah dengan pelancaran inisiatif terbaharunya, Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu untuk Micro-Credentials (APEL.M) – inovasi pendidikan yang akan membuka lebih banyak peluang seseorang – mendapatkan kelayakan akademik secara fleksibel serta inklusif.
Bercakap kepada MalaysiaGazette, Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, APEL.M akan menjadi satu daripada penyelesaian inovatif untuk menyokong pembangunan individu, organisasi dan negara.
Katanya, ia juga merupakan visi Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang mahu menjadikkan APEL.M inisiatif penting bawah rangka kerja Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan membolehkan pelajar mengumpul micro-credentials secara berasingan, syarat untuk penganugerahan kelayakan akademik.
“Dalam amanat menteri 2025, Dr. Zambry juga telah banyak memberikan menekankan tentang betapa pentingnya pendidikan fleksibel dan pembelajaran sepanjang hayat sebagai pemacu utamadalam transformasi pendidikan tinggi negara.
“Sejajar dengan hala tuju berkenaan, APEL.M berperanan sebagai pemangkin kepada pendidikan yang lebih dinamik, membolehkan individu memanfaatkan pengalaman terdahulu dan micro-credentials untuk memperkukuh keupayaan diri dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif.
“Sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan untuk memastikan standard dan kualiti pendidikan tinggi negara, MQA sentiasa berusahamemperkenalkan inisiatif yang dapat memperkasakebolehpasaran graduan dan memenuhi keperluan industri ketika ini.
“Sehubungan itu, kita tampil dengan penganjuran MQA Education Fair 2025 sekaligus melancarkan APEL.M membuktikan komitmen Malaysia dalam membentuk sistem pendidikan yang lebih terbuka, fleksibel, dan sejajar dengan trend global,” katanya selepas majlis pelancaran APEL.M pada majlis Education Fair 2025 anjuran MQA di sini hari ini.
Terdahulu, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian hadir sebagai wakil Dr Zambry selain membacakan teks ucapan berkaitan pelancaran APEL.M Grand Hall di sini hari ini.
Dalam ucapan itu, Dr Zambry melahirkan hasrat tinggi supaya APEL.M MQA akan memberi peluang kepada golongan pekerja, ibu bapa atau individu dewasa yang tercicir pendidikan formal untuk melanjutkan pelajaran dan mendapatkan kelayakan akademik.
“Di institusi pendidikan tinggi (IPT), APEL.M menyokong perkembangan kurikulum yang lebih dinamik di samping memupuk kesedaran bahawa pembelajaran tidak terhad kepada bilik darjah atau usia tertentu.
“Inisiatif itu juga memberi peluang kepada golongan B40 dan komuniti luar bandar untuk mendapatkan akses pendidikan tinggi tanpa halangan besar seperti kos tinggi atau lokasi yang jauh seterusnya menyokong pembangunan sosial lebih seimbang di seluruh negara,” katanya.
Antara lain tetamu penting turut hadir dalam majlis pelancaran APEL.M dan MQA Education Fair 2025 ialah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman dan Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff.
Mengulas tentang MQA Education Fair 2025, Mohammad Shatar berkata, festival pendidikan itu berlangsung selama dua hari pada 8 dan 9 Februari ini dengan menampilkan pelbagai aktiviti termasuk sesi perkongsian panelis, pameran program pendidikan fleksibel oleh IPT awam dan swasta, persembahan pelajar IPT dan artis popular tanah air.
Selain itu, pihaknya juga mengadakan cabutan bertuah selang seli selain arena e-sports serta karnival kerjayayang dikendalikan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Jelas beliau, MQA Education Fair 2025 akan menjadi medan untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meneliti program yang mahu diikuti di IPT, pencari kerja untuk mencari peluang pekerjaan, golongan bekerja dan bekerjaya untuk mengetahui lebih lanjut tentang pendidikan fleksibel menerusi APEL dan micro-credentials.
“Sejak pagi ini, lebih 1,500 pengunjung hadir tidak sampai dua jam, kita jangka akan dapat tarik lebih ramai lagi sekitar 5,000 hadirin esok. Memang agak memberangsangkan kehadiran umum dalam mengetahui lebih lanjut tentang peluang ditawarkan IPT di negara kita.
“Malah pempamer juga menunjukkan komitmen dan minat tinggi untuk menyertai festival pendidikan ini namun kita terpaksa hadkan kepada 80 pempamer kali ini, mungkin lain kali kita tambah.
“Dalam teks ucapan YBM Menteri juga sudah disarankan supaya kita teruskan program seumpama ini saban tahun malah kerjasama strategik antara kementerian, agensi, industri dan syarikat swasta amat signifikan,” ujarnya.
Beliau juga melahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan MQA Education 2025 ini terutamanya rakan strategik kami PERKESO, TODAK Culture Sdn. Bhd, Etika Sdn. Bhd., Petro Teguh (M) Sdn. Bhd., Gamuda Land Leisure Sdn. Bhd., Sunway Lagoon Sdn. Bhd. dan Agensi KaunselingDan Pengurusan Kredit (AKPK).
Sementara itu, seorang pengunjung yang merupakan lepasan SPM, Armin Danish Nor Azly berkata, walaupun dirinya sudah berniat untuk belajar di luar negara namun penganjuran festival pendidikan seperti banyak membantunya dalam memahami peluang disediakan dalam negara.
Manakala bagi Siti Rina Elyani Ahmad Zainuddin, dia memuji inisiatif MQA dalam menganjurkan Education Fair 2025 yang memberikannya peluang mencari apa-apa tawaran menarik termasuklah berkaitan biasiswa serta pinjaman untuk anak-anaknya tamat sekolah.
“Saya dapat makluman tentang festival ini melalui hebahan media sosial, datang sini saya memang rasa sangat puas hati dan gembira.
“Banyak tawaran menarik, ada yang kita tidak tahu juga. Apabila datang baru kita tahu macam-macam. Ini juga pendedahan buat kita, kita boleh menyediakan diri untuk keperluan anak-anak,” ujarnya ketika ditemui di sini hari ini.
MQA ditubuhkan pada 1 November 2007 ekoran penguatkuasaanAkta Agensi Kelayakan Malaysia 2007 dengan peranan utamanya melaksanakan Kerangka Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Framework, MQF) sebagai landasan sistem jaminan kualiti pengajian tinggi dan titik rujukankriteria dan standard kelayakan kebangsaan.
MQA berperanan sebagai badan tunggal yang menyelia dan menyelarasjaminan kualiti dan akreditasi pendidikan tinggi negara. – MalaysiaGazette