Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Mejar Jeneral Datuk Ya'cob Samiran bercakap pada media berkenaan Latihan Menembak Senjata Ringan” bertempat di Lapang Sasar Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 8 FEBUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Pemilihan pakaian celoreng Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 dibuat selaras dengan amalan beberapa negara dalam program khidmat negara masing-masing.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Mejar Jeneral Datuk Ya’cob Samiran berkata, ia telahpun dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tatakelola Dewan Kenegaraan yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Setelah kita buat kajian di semua negara, kebanyakan khidmat negara mereka menggunakan pakaian celoreng tentera mereka masing-masing.

“Tidak ada pakaian lain selain pakaian celoreng tentera mereka,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Aksi Wira Muda PLKN semasa memulakan Latihan Menembak Senjata Ringan” bertempat di Lapang Sasar Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 8 FEBUARI 2025.

Terdahulu beliau menyaksikan Latihan Menembak Senjata Ringan melibatkan 64 Wira Muda PLKN 3.0 Siri Pertama 2025 di Lapang Sasar Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Perdana Sungai Besi.

Sebelum ini, media melaporkan Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan memaklumkan, seramai 120 pelatih diterima menyertai PLKN 3.0 siri pertama 2025 di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, di sini, 12 Januari lalu.

Mereka terdiri dari 80 pelatih lelaki dan 40 wanita berusia antara 18 hingga 25 tahun.

Jumlah itu termasuk 13 peserta yang hadir secara ‘walk-in’ pada sesi pendaftarannya pada 12 Januari di sini, terdiri dari pelbagai latar belakang bangsa, agama, pendidikan dan lokaliti.

Sementara itu, PLKN 3.0 Siri 2/2025 akan dilaksana pada 11 Mei hingga 24 Jun depan, manakala PLKN 3.0 Siri 3/2025 pula pada 7 September hingga 21 Oktober ini, masing-masing di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah dan Kem Rejimen 505 Askar Wataniah.

Suasana Wira Muda PLKN sebelum memulakan Latihan Menembak Senjata Ringan” bertempat di Lapang Sasar Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 8 FEBUARI 2025.

Menurut Ya’cob, pemilihan pakaian celoreng TDM untuk PLKN 3.0 selaras dengan ketahanan dan kosnya yang telah diuji dalam perkhidmatan tentera sedia ada.

“Pakaian celoreng tentera darat ini pada asasnya pakaian yang telah diuji, spesifikasi, kajiannya dibuat dan penilaiannya semua lengkap.

“Kalau kita guna pakaian lain, ia akan melalui proses yang agak lama dan kosnya lebih mahal, pakaian celoreng TDM kosnya lebih murah sebab ia dalam sistem,” katanya.

Bagaimanapun katanya, tidak akan membenarkan pelatih PLKN 3.0 membawa pulang ke rumah setelah tamat sesi latihan mereka.

“Pakaian celoreng ini akan dikembalikan semula selepas mereka tamat latihan, ia tidak akan dibawa balik.

“Jadi untuk PLKN siri akan datang, tetap menggunakan pakaian celoreng sedia ada,” katanya.

Sementara itu, ditanya tentang jumlah pelatih PLKN 3.0 yang menarik diri sejak hari pertama diperkenalkan, beliau berkata hanya lima individu berbuat demikian kerana masalah kesihatan.

“Dari hari pertama sampai hari ini, berjalan lancar, memang ada lima orang yang berdepan dengan masalah kesihatan.

“Mereka menarik diri dan tidak dapat teruskan disebabkan masalah kesihatan yang agak kronik kerana latihan itu lebih lasak.

“Dia tak dapat memenuhi secara penuh dan mengelakkan mereka mendapat kecederaan lebih banyak, jadi dia tarik diri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here