KUALA LUMPUR- Keghairahan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dalam memastikan Malaysia kekal aman dan harmoni seharusnya menjadi inspirasi kepada semua terutama dalam menghadapi cabaran masa kini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, nama almarhum Tunku Abdul Rahman tidak hanya terukir dalam sejarah sebagai Bapa Kemerdekaan Negara sebaliknya sebagai simbol kesepakatan dan perpaduan yang menyatukan pelbagai kaum dalam satu identiti nasional.
“Dalam mengemudi Malaysia MADANI, saya berpegang teguh kepada nilai-nilai yang diwariskan Almarhum Tunku yakni perpaduan, integriti, dan keadilan buat semua selain bertekad untuk meneruskan perjuangan demi negara yang lebih sempurna serta makmur buat semua,” katanya dalam satu hantaran di media sosial sempena ulang tahun keputeraan bekas Perdana Menteri Malaysia yang pertama itu, hari ini.
Tambah Anwar, sumbangan Almarhum Tunku pastinya akan menjadi inspirasi untuk menjunjung nilai-nilai perpaduan dan keamanan yang telah membentuk kesatuan negara ini.
“Semoga legasi Almarhum Tunku terus menjadi panduan dalam usaha kita membina negara yang lebih baik untuk generasi mendatang.
“Mendoakan semoga roh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dilimpahkan sebesar-besar ganjaran ihsan dan rahmat Allah SWT,” katanya lagi. -MalaysiaGazette