Mangsa, Pirema Gouindasamy, 60, bercakap pada sidang media mengenai penipuan pelaburan mesin layan diri tidak wujud di Ibu Pejabat MHO, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 09 FEBRUARI 2025

KUALA LUMPUR – Hasrat seorang wanita warga emas untuk menambah pendapatan selepas kehilangan pekerjaan bertukar tragedi apabila dia dan suaminya kerugian RM80,000 akibat terpedaya dengan skim pelaburan mesin layan diri yang disyaki tidak wujud.

Mangsa yang dikenal sebagai Pirema, 60, berkata, kejadian berlaku selepas dia melihat iklan promosi skim berkenaan di YouTube yang menjanjikan pulangan lumayan.

Tertarik dengan tawaran itu, dia kemudian menghubungi pihak syarikat untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Saya tanya mereka sama ada skim ini benar atau tidak, mereka yakinkan saya dengan mengatakan ia adalah syarikat berdaftar dan mendapat kelulusan kerajaan.

“Malah, mereka mendakwa mereka ada cop dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang membuatkan saya jadi semakin percaya,” katanya ketika sidang media di ibu pejabat MHO, di sini, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2025/02/09/pelaburan-vending-machine-54-aduan-diterima-rm5-2j-kerugian/

Dia kemudian pergi ke pejabat syarikat berkenaan di Seri Kembangan bersama suaminya untuk melihat sendiri operasi bagi meyakinkan dirinya tentang kesahihan syarikat berkenaan.

“Saya tengok ada bangunan, ada pekerja di dalamnya. Saya pun percaya dan saya serahkan wang pelaburan sebanyak RM50,000 secara tunai pada Disember 2023.

“Mereka kata saya akan menerima pulangan selepas sebulan,” ujarnya.

Jelas Pirema, dia kemudia memujuk suaminya untuk menyertai pelaburan berkenaan menyebabkan suaminya turut membuat pelaburan sebanyak RM30,000, menjadikan jumlah keseluruhan yang dilaburkan mereka mencecah RM80,000.

Pada mulanya, mereka menerima pulangan seperti dijanjikan, namun selepas enam bulan, pembayaran terhenti tanpa sebarang penjelasan.

“Kami tanya pihak syarikat tetapi mereka hanya beri alasan kurangnya suntikan modal dan terus mempromosikan skim ini kepada orang lain, termasuk di sekolah-sekolah.

“Saya jadi marah, bagaimana mereka boleh menipu lebih ramai orang, termasuk guru dan pelajar?

“Saya sudah hilang semua wang simpanan termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Kini, kami suami isteri terpaksa mencari jalan lain untuk meneruskan kehidupan,” luahnya.

Tambahnya, dia amat menyesal kerana mempercayai skim tersebut dan berharap tiada orang lain menjadi mangsa seperti dirinya.

Beliau berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan tegas terhadap syarikat terbabit agar tiada lagi yang terpedaya dengan janji manis mereka- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here