Perhimpunan di pintu masuk Sungai Buloh pagi semalam yang mahukan SOSMA dimansuhkan. - Gambar Facebook Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)

KUALA LUMPUR – Individu yang berhimpun di hadapan pintu masuk Penjara Sungai Buloh, berkaitan tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) semalam, akan dipanggil polis memberi keterangan.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, himpunan pukul 8. 10 pagi itu diadakan ahli keluarga banduan tahanan SOSMA di penjara tersebut bertujuan meminta kerajaan memansuhkan akta berkenaan.

Ujarnya, polis telah membuka kertas siasatan dan semua individu dikenal pasti terlibat dalam himpunan itu akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh untuk dirakam keterangan dalam masa terdekat.

Kumpulan yang berhimpun di pintu masuk Sungai Buloh pagi semalam, mendesak SOSMA dimansuhkan. – FOTO Facebook Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)

“Risikan awal mendapati, terdapat antara 40 hingga 50 individu termasuk kanak-kanak lelaki dan perempuan berkumpul serta memegang pelbagai plakad tertera pelbagai tulisan meminta simpati serta memohon akta itu dimansuhkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, susulan itu polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Penganjur himpunan boleh dikenakan denda RM10,000 sekiranya tidak mengemukakan notis untuk mengadakan perhimpunan kepada polis,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai tidak melakukan perbuatan menyalahi undang-undang.

“Sebarang maklumat berkaitan himpunan ini boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Nurliyana Shariffuddin di talian 010-843 5654,” katanya.

Semalam, media melaporkan ahli keluarga kepada 32 orang yang ditahan di bawah SOSMA difahamkan melancarkan mogok lapar di hadapan Kompleks Penjara Sungai Buloh.

Mereka menuntut kerajaan dan pihak penjara membenarkan mereka melawat serta memeriksa keadaan tahanan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here