Ilustrasi artis

KUALA LUMPUR- Cadangan melaksanakan semula projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura boleh meningkatkan ketersambungan perjalanan darat antara kedua-dua bandar itu yang merupakan antara laluan penerbangan paling sibuk di dunia.

Ahli Ekonomi dan Penolong Pengurus Penyelidikan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi Doris Liew berkata HSR akan mengurangkan masa perjalanan untuk pengembara dalam kalangan ahli perniagaan terutamanya antara Johor dan Singapura.

“Kita tahu bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur agak jauh dari pusat bandar. Ia mengambil masa sejam untuk perjalanan ke pusat bandar manakala HSR mengurangkan masa perjalanan keseluruhan kepada hanya 90 minit dari bandar ke bandar,” katanya kepada Bernama.

Projek ikonik itu akan merangkumi tujuh stesen di Malaysia iaitu Bandar Malaysia, Sepang-Putrajaya, Seremban, Melaka, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri sebelum sampai ke destinasi terakhirnya di Jurong East, Singapura.

“Ketika ini, tambak Johor (sambungan jalan darat pertama antara Johor dan Singapura) dan pusat pemeriksaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di situ sangat sesak, kebiasaannya pada kapasiti penuh dengan perjalanan antara Johor Bahru dan Singapura mengambil masa antara dua hingga enam jam sehala.

“Bagi pengembara dalam kalangan ahli perniagaan, membuang masa terperangkap dalam trafik bukanlah satu pilihan yang baik, justeru HSR adalah penyelesaiannya kerana dapat menjimatkan masa,” tambah Liew.

Pensyarah Kanan School of Accounting Finance, Taylor’s University, Paul Anthony Maria Das berkata salah satu faedah utama projek HSR ialah ketersambungan yang dipertingkatkan antara Malaysia dan Singapura.

Beliau berkata mengurangkan masa perjalanan kepada kira-kira 90 minit akan memudahkan pergerakan lancar pegembara dan penghataran barangan antara kedua-dua negara, merancakkan aktiviti perdagangan dan pelaburan serantau.

“Projek HSR juga akan membawa faedah sosial yang ketara. Ketersambungan lebih baik akan mengukuhkan hubungan ekonomi dan budaya antara Malaysia dan Singapura, memupuk integrasi serantau.

“Integrasi ini akan menggalakkan mobiliti lebih besar, menawarkan individu akses yang lebih baik kepada pendidikan, penjagaan kesihatan dan peluang pekerjaan,” katanya.

Pembiayaan projek HSR merupakan satu pertimbangan kritikal

Projek HSR KL-Singapura akan memberi manfaat kepada Malaysia dalam jangka masa panjang, para pemerhati mencadangkan bahawa projek itu harus diletakkan di bawah kerjasama kerajaan dan sektor swasta bukannya semata-mata bergantung pada penyertaan penuh entiti swasta untuk membangunkan projek itu.

Liew berkata perkongsian awam-swasta (PPP) adalah cara terbaik untuk kerajaan mengawal dan menjamin bahawa projek itu boleh menjadi berdaya maju dan mampan dalam jangka masa panjang.

Ia berisiko untuk projek HSR semata-mata di bawah inisiatif swasta kerana pelaburan besar yang terlibat dan kejayaannya juga bergantung kepada kemandirian (kelangsungan) entiti swasta, katanya.

Projek HSR, pertama kali dicadangkan pada 2013 oleh Perdana Menteri Malaysia dan Singapura, ia bertujuan mengurangkan masa perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada 90 minit.

Anggaran kos projek kereta api itu ialah RM100 bilion.

Ketua Moody’s Analytics bagi Ekonomi Asia-Pasifik, Katrina Ell pula berkata hubungan antara bandar lebih meluas mempunyai faedah ketara termasuk mobiliti buruh lebih baik yang boleh menghasilkan faedah sosial menerusi peningkatan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia.

“Terdapat juga peningkatan kepada eksport perkhidmatan termasuk pelancongan kerana kemudahan pengangkutan menjadi lebih mudah,” tambahnya.

Dalam pada itu, Paul Anthony berkata model PPP yang dirangka dengan baik akan memastikan kemampanan kewangan, pada masa sama ia menyumbang kepada masyarakat.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here