JERTIH, 9 Feb (Bernama) — Seorang nelayan yang dilaporkan terjatuh ketika bot dinaikinya dilambung ombak, ditemukan lemas di muara Sungai Keluang di sini, tengah hari tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Besut Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, pihaknya menerima laporan kejadian berkenaan pada 10.15 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian untuk operasi dan menyelamat (SAR).
“Mangsa Mohd Fatihil Asrol Mat Zailani, 39, ditemukan terdampar di kawasan muara tersebut oleh pasukan penyelamat kira-kira 12.40 tengah hari.
“Mangsa dipercayai tercampak ke laut dari bot gentian kaca ketika dalam perjalanan pulang ke darat apabila bot dinaiki dilambung ombak,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Menurut Muhammad Azrul Izzham, sebanyak 41 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi termasuk polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) terlibat dalam operasi menyelamat. – BERNAMA