KUALA LUMPUR – Polis mengenal pasti suspek yang terlibat dalam insiden tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, dekat sini malam tadi mempunyai 11 rekod jenayah dan dadah.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an dan berkulit cerah.
Ujarnya, polis menerima tujuh laporan yang dibuat saksi awam dan semua saksi telah memberi keterangan pada pihak polis.
“Polis sedang giat menjejaki dan berusaha untuk menangkap suspek, sementara motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melepaskan tembakan semasa melakukan kesalahan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Ia juga disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun.
Hussein berkata, Balai Polis Seksyen 6 menerima maklumat daripada orang awam mengenai tembakan di pusat beli-belah tersebut yang berlaku sekitar 10.50 malam.
Ujar beliau, siasatan mendapati mangsa, seorang pekerja pembersihan di pusat beli-belah itu, sedang menyimpan peralatan pembersihan di Aras P1 bangunan sebelum suspek tiba-tiba melepaskan empat das tembakan, mengenai kaki dan punggungnya.
“Walaupun cedera, mangsa dapat melarikan diri ke dalam pusat beli-belah untuk mendapatkan bantuan, manakala suspek melarikan diri ke Aras P2.
“Di situ, suspek melepaskan beberapa tembakan ke arah tingkap tangga dan pintu gelangsar sebelum melarikan diri,” katanya.
Hussein selanjutnya berkata, suspek kemudian merampas sebuah Perodua Ativa yang dipandu oleh seorang pengunjung pusat beli-belah dengan mengacukan senjata api dan memaksa pemandu membawanya keluar dari Shah Alam.
“Semasa dalam perjalanan di lebuh raya, suspek mengarahkan pemandu untuk berhenti di tepi jalan lalu melarikan diri,” katanya.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, Asisten Superintendan Mohd Afandi Ahmad di talian 016-7252948 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah di 03-5520 2222. – MalaysiaGazette