SHAH ALAM – Malaysia optimis untuk mencapai trajektori pertumbuhan perdagangan pada 2025 dan mengekalkannya pada paras melebihi RM2 trilion, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata, keyakinan itu berdasarkan andaian bahawa ekonomi negara akan terus berkembang walaupun menghadapi cabaran global seperti potensi kelembapan dalam ekonomi China dan perubahan dalam pentadbiran baharu Amerika Syarikat.
“Berdasarkan situasi global semasa, jika keadaan bertambah buruk…walaupun tidak mungkin disebabkan trajektori ekonomi Malaysia, justeru negara akan terus mencapai pertumbuhan perdagangan,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan tengah hari Golf KITA 2025 di sini hari ini.
Tengku Zafrul berkata, pertumbuhan eksport dan import memacu jumlah perdagangan Malaysia untuk 2024 meningkat 9.2 peratus kepada rekod tertinggi baharu sebanyak RM2.879 trilion.
Ia juga menandakan tahun keempat berturut-turut jumlah perdagangan negara mencatatkan melebihi RM2 trilion, katanya.
“Sasaran kami adalah untuk mengekalkan RM2 trilion dicapai tahun lepas. Kami masih menjangkakan pertumbuhan positif dalam ekonomi negara,” kata Tengku Zafrul.
Sementara itu, Golf KITA 2025 ialah acara pengumpulan dana untuk kebajikan, penyelidikan dan inisiatif pembinaan pengetahuan untuk komuniti yang kurang bernasib baik.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat dan menghadiri majlis itu.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Tengku Zafrul berkata inisiatif itu hanyalah permulaan, lebih komuniti lain akan mendapat manfaat daripada kemurahan hati dan sumbangan ditunjukkan semasa Golf KITA 2025.
Golf KITA 2025 dianjurkan oleh Southeast Asian Futures Initiative Centre (SEAFIC), Yayasan TZA dan Kelab Perkaderan. – BERNAMA