PUTRAJAYA – Seramai 123 individu yang mendakwa menjadi mangsa sebuah agensi pelancongan umrah dan haji hingga kerugian lebih RM1.27 juta merayu Jabatan Peguam Negara (AGC) mendakwa agensi tersebut.
Setiausaha Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim yang menjadi jurucakap mangsa penipuan itu berkata, laporan polis telah dibuat dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, beliau mendakwa kes tersebut tiada perkembangan jelas terhadap individu-individu yang dipercayai terlibat dalam penipuan tersebut.
“Ratusan mangsa ini telah lama menunggu keadilan, namun hingga kini tiada sebarang tindakan tegas dikenakan ke atas pihak yang disyaki.
“Kami berharap AGC dapat memberi perhatian dan menggunakan budi bicara untuk segera mendakwa pihak terbabit di mahkamah,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, pihaknya menerima aduan daripada mangsa sejak penghujung 2023.
Kata beliau, difahamkan seorang pengarah syarikat umrah berkaitan syarikat ini telah didakwa di bawah Seksyen 117 selepas gagal mematuhi award yang dikeluarkan oleh Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).
“Pendakwaan itu dibuat atas dasar pelanggaran hak pengguna di bawah undang-undang perlindungan pengguna. Tetapi pada 16 Julai tahun lalu, suspek itu telah memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi mencabar bidang kuasa TTPM dalam mengeluarkan keputusan tersebut.
“Para pengadu ini mahu tindakan tegas diambil dengan AGC menyiasat pengarah berkenaan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan jenayah penipuan.
“Kami mendesak pihak berkuasa agar memastikan keadilan ditegakkan, supaya tiada lagi rakyat Malaysia menjadi mangsa penipuan umrah pada masa akan datang,” ujar beliau.
Sambung beliau, rata-rata mangsa dalam kalangan B40 yang mengumpul wang simpanan hasil kerja keras selama bertahun untuk melakukan umrah.
“Kita harap sangat Jabatan Peguam Negara dapat melihat memorandum kami dan memberikan peluang kepada mangsa menuntut keadilan terhadap apa yang berlaku kepada mereka,” ujarnya. – MalaysiaGazette
Syarikat tipu pakej umrah, 123 aduan libat kerugian lebih RM1.3 juta – MHO