KUALA LUMPUR – Pesuruhjaya Pas Perak mahu Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli memperincikan jumlah aliran keluar bersih dana asing dari Malaysia.
Razman Zakaria membuat gesaan itu selepas Rafizi menyindir tindakan berterusan pemimpin Pas yang didakwa menyebarkan fitnah.
“Terima kasih Rafizi kerana sudi buat video khas untuk Pakteh (Razman).
“Alang-alang tu minta juga buat video khas tentang jumlah dana asing bersih sebanyak RM3.7 billion yang dijual oleh pelabur asing,” katanya dalam satu video di Facebook.
Semalam, Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR menyindir tindakan berterusan pemimpin Pas yang didakwa menyebarkan fitnah, sambil mempersoalkan sama ada mereka benar-benar jahil atau sengaja menggunakan strategi politik berbentuk kebencian perkauman.
Tambah Rafizi, Pas berulang kali terpalit dengan isu fitnah yang melibatkan individu tertentu, termasuk dakwaan palsu mengenai hubungan keluarga pemimpin politik kaum lain.
Awal hari ini, Eric See-T, bekas Timbalan Pengarah Strategik Barisan Nasional (BN) yang menulis di hantaran Facebook mendakwa sebanyak RM3.7 bilion telah mengalir keluar dari Malaysia setakat ini bagi tahun 2025.
Jumlah itu lebih tinggi berbanding RM4.2 bilion pada 2024 dan RM2.4 bilion pada 2023. – MalaysiaGazette