PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Perbendaharaan dan Kementerian Ekonomi supaya menyegerakan peruntukan bagi projek-projek melibatkan kebajikan rakyat termasuk tebatan banjir.
Menurut Perdana Menteri, beliau juga meminta supaya kelonggaran dapat diberikan bagi tujuan peruntukan itu selain mempercepatkan proses prakelayakan tender bagi projek berkenaan.
“Mengapa kita tekankan soal tender ini kerana kita tengok kalau kita pakai kaedah rundingan (terus), banyak nanti keterlanjuran dan ketirisan…jadi sebaiknya kita gunakan tender.
“Tetapi tender itu kalau melalui proses biasa akan ambil masa terlalu panjang dan orang yang terkesan dengan banjir ini tidak mampu menunggu.
“Jadi hal ini saya harap dapat diberi perhatian…insya-Allah, jika kita dapat tingkatkan penguatkuasaan dan keprihatinan kepada rakyat, mudahan-mudahan negara kita dapat ditingkatkan ke mercu yang lebih tinggi dan dikagumi masyarakat antarabangsa,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Dengan Warga Jabatan Perdana Menteri Bagi Bulan Februari Tahun 2025 yang diadakan di Dewan De Seri Endon, Presint 10, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusuf dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.
Dalam perkembangan berkaitan, kata Anwar, beliau bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) sentiasa memantau pelaksanaan projek-projek berkaitan rakyat termasuk dalam usaha membasmi kemiskinan tegar.
Jelas beliau, meskipun usaha membasmi kemiskinan tegar itu disifatkan berjalan dengan baik, namun beliau mengakui ada pertambahan dari segi bilangan penduduk yang terlibat.
“Umpamanya di Parlimen Tambun, yang kekal kemiskinan tegar itu dalam 15 keluarga, manakala untuk keseluruhan Perak dalam 100 lebih (keluarga).
“Saya sebut kalau 15 itu boleh cari dan selesaikan dalam dua hari…supaya isu kemiskinan tegar itu dapat dibereskan.
“Begitu juga di Wilayah Persekutuan, saya sempat hubungi Dr. Zaliha Mustafa (Menteri) untuk pastikan jumlah (kemiskinan tegar) itu diselesaikan sama ada oleh Jabatana Kemajuan Masyarakat (JKM) atau melalui bantuan wakaf, zakat dan menerusi Majlis Agama.
“Ini maksudnya saya pantau sentiasa, walaupun kecil (jumlah keluarga), bagi saya masalah kemiskinan tegar itu besar bagi keluarga itu,” katanya. – MalaysiaGazette