PUTRAJAYA – Perdana Menteri mengarahkan lesen peniaga yang memindahkan atau menjual lesen yang diperoleh untuk berniaga di bazar Ramdan kepada pihak lain, dibatalkan serta-merta.
Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, penguatkuasaan yang tegas itu bagi memberi keadilan kepada para peniaga yang benar-benar mahu mencari rezeki untuk meningkatkan taraf hidup keluarga khususnya sepanjang bulan Ramadan.
Jelasnya, beliau memahami sekiranya terdapat persatuan yang mengenakan bayaran puluhan ringgit daripada peniaga yang mendapat lesen bagi tujuan pengawasan dan kebersihan tapak bazar Ramadan.
Tetapi apa yang tidak boleh diterima, ujarnya, apabila terdapat ejen-ejen yang menerima komisen besar daripada permohonan lesen tapak bazar Ramadan dan perkara itu telah berlanjutan saban tahun sejak sekian lama.
“Jadi apa masalahnya untuk berikan lesen perniagaan kepada orang yang berniaga dan tidak melalui wakil-wakil?
“Kalau ada persatuan yang ambil beberapa puluh ringgit untuk pengawasan dan pembersihan, itu saya faham…tapi ini ada yang dijual semula.
“Maknanya (ada) penjawat awam terlibat yang tahu dan bersekongkol…dan kena faham ini berlaku selama bertahun-tahun, bukan hanya di Kuala Lumpur tetapi juga di hampir semua kota di negara kita,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Dengan Warga Jabatan Perdana Menteri Bagi Bulan Februari Tahun 2025 yang diadakan di Dewan De Seri Endon, Presint 10, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berharap ketegasan Dewan Badaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam membanteras isu penjualan lesen perniagaan di tapak bazar Ramadan terbabit dijadikan contoh di bandar-bandar lain.
Ujarnya, selain memastikan mereka yang mendapat lesen bazar Ramadan benar-benar berniaga, DBKL turut mengurangkan bayaran bagi tapak perniagaan.
“Ini memerlukan keputusan dan penguatkuasaan yang baik…saya syukur kerana kesedaran ini ada, maknanya kita mampu laksanakan.
“Tetapi kalau kita biarkan, inilah keadaannya di merata-rata tempat, dari sekecil-kecil gerai sehinggalah kepada sebesar-besar projek raksasa…di mana diambil yang bukan haknya.
“Jadi saya percaya sebahagian besar saudara (penjawat awam) faham mengapa masalah tata kelola ini kita tekankan…dan saya percaya ini juga harus dilakukan di pelabuhan, di lapangan terbang yang mana kita lihat beberapa sistem yang lebih cekap sekarang (dilaksanakan), tetapi tidak terlepas daripada beberapa pelanggaran yang harus kita pantau pelaksanaannya,” kata beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar turut menyokong ketegasan DBKL membanteras kawasan perniagaan haram yang dibuka oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berleluasa di sekitar ibu negara.
Ujar beliau, apa yang dilakukan oleh DBKL khususnya di bawah Menteri Wilayah Persekutuan, Dr. Zaliha Mustafa itu bukan satu bentuk kezaliman atau keganasan, sebaliknya berlandaskan peraturan dan keprihatinan.
“Kita lihat kehadiran pendatang asing yang telah membuka kawasan perniagaan yang begitu besar dan keadaan itu telah terbiar begitu lama…dan bila kita ambil tindakan, nampak seolah-olah satu kegiatan (tindakan) yang sangat besar.
“Ini peringatan kepada kita…kalau kita biarkan, keadaan sebegitu akan jadi sebobrok (besar) sedemikian…puluhan tahun diizinkan, jadi akhirnya tugas kita besar,” katanya. – MalaysiaGazette