Yahaya Othman menunjukkan barang rampasan berupa 261 bungkusan plastik lutsinar yang mana setiap plastik lutsinar itu pula mengandungi bungkusan berwarna coklat bertulisan cina dan berlabel 'Chrysanthemum tea' di IPK Pahang hari ini

KUANTAN – Polis memberkas dua orang ’transporter’ yang dipercayai dalang utama sindiket dadah dan sekaligus merampas dadah jenis syabu seberat 275.476 kilogram (kg) di Lipis, Khamis lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata rampasan dadah itu bernilai RM8.82 juta merupakan rampasan terbesar dalam tempoh tiga tahun di negeri ini.

Kedua-dua suspek lelaki berusia 67 dan 31 tahun ditahan di lokasi selepas kejadian berlakunya insiden langgar lari oleh suspek pertama.

Menurut beliau, polis menerima maklumat terdapat insiden langgar lari melibatkan suspek pertama berlaku di Kampung Pagar Sasak dan orang awam telah mengejar pemandu berkenaan sehingga ke Kampung Sungai Mun, dekat Lipis.

”Selepas maklumat diterima, anggota tersebut menghubungi Balai Polis Padang Tengku dan unit peronda MPV Daerah Lipis untuk bantuan di lokasi kejadian.

”Hasil tindak balas segera terhadap situasi yang dilaporkan, polis kemudian berjaya menahan lelaki warga emas yang merupakan pemandu kepada kenderaan Toyota Wish berwarna putih.

”Pada masa yang sama, suspek kedua ialah seorang lelaki berumur 31 tahun, tiba di lokasi dengan tujuan untuk membantu suspek pertama tetapi polis bertindak segera menahannya kerana dilhat mencurigakan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang hari ini.

Polis juga menemukan kenderaan Toyota Wish yang dipercayai disewa yang disorokan di kawasan berhampiran dalam keadaan berkunci.

Hasil pemeriksaan di dalam kereta berkenaan polis telah menjumpai 13 bungkusan plastik berwarna hitam.

”Di dalam plastik hitam tersebut mengandungi 261 bungkusan plastik lutsinar yang mana setiap plastik lutsinar itu pula mengandungi bungkusan berwarna coklat bertulisan cina dan berlabel ‘Chrysanthemum tea’.

”Setelah diperiksa isi kandungan bungkusan berwarna coklat, dijumpai ketulan kristal yang disyaki dadah jenis syabu. Turut di rampas ialah dua helai kain yang berwarna hitam,” katanya.

Yahaya berkata hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek warga tempatan itu bersama – sama terlibat di dalam kegiatan pengedaran dadah jenis syabu dengan berperanan sebagai “transporter” dan dibayar upah yang tinggi untuk setiap penghantaran.

Jelasnya bekalan dadah yang diperoleh dari negara jiran, dalam perjalanan untuk dihantar ke Lembah Klang dan kegiatan mereka dipercayai mula aktif sejak awal tahun 2025.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sehingga 12 kali sebatan jika sabit kesalahan.

Kedua-dua suspek di reman selama tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah mulai 7 Februari sehingga 13 Februari ini.

Manakala saringan awal urin mendapati kedua-kedua suspek negatif dadah dan hasil semakan rekod lampau mendapati suspek pertama mempunyai tiga rekod lampau manakala suspek kedua ada dua rekod lampau jenayah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here