Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan berucap pada Syarahan Umum Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 10 FEBUARI 2025.

PUTRAJAYA – Turkiye berhasrat untuk mengukuhkan hubungan dan kerjasama dengan benua Asia susulan kepentingannya yang semakin meningkat menerusi skop inisiatif Asia Anew yang diumumkan pada 2019.

Presidennya, Recep Tayyip Erdoğan berkata, usaha itu dapat dilihat daripada hubungan Turkiye dengan Malaysia yang meningkat daripada “perkongsian strategik” pada 2014 kepada “perkongsian strategik komprehensif” pada 2022.

“Sesuai dengan hubungan yang berakar umbi dan rapat antara rakyat kita, kami mula mengukuhkan kerjasama kami dengan langkah-langkah konkrit.

“Bagi kami, Malaysia antara negara terkemuka di rantaunya dengan populasi hampir 35 juta, mempunyai ekonomi dinamik dan sumber manusia yang berkelayakan.

“Kami berhasrat untuk membangunkan hubungan kami berdasarkan visi kerjasama teknologi dan pengeluaran bersama,” katanya ketika berucap pada Syarahan Umum sempena lawatan kerja dua harinya ke Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah bergambar bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan dan Isteri, Emine Erdogan pada Syarahan Umum Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 10 FEBUARI 2025.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ibrahim dan isteri Presiden Türkiye, Emine Erdoğan.

Erdogan berkata, hubungan dan kerjasama itu boleh dapat dilihat daripada industri penerbangan Turkiye yang mana Malaysia menyediakan kemudahan dinamik dengan menawarkan peluang kerja kepada lebih 100 jurutera muda di negara ini.

“Dengan kerjasama syarikat industri pertahanan kami, pembinaan kumpulan kedua Kapal Misi Littoral kini sedang dijalankan. Kami mempunyai kerjasama yang ketara mengenai ANKA UAVs,” katanya.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan pada Syarahan Umum Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 10 FEBUARI 2025.

Selain itu, katanya, jumlah dagangan Turkiye kini mencecah lebih AS$5 bilion pada 2024 selaras dengan sasaran yang ditetapkan kerajaan.

“Kami menyasarkan untuk meningkatkan perdagangan kami sehingga AS$10 bilion dengan cara yang seimbang.

“Dari teknologi semikonduktor kepada automotif, teknologi pesawat kepada simulator awam, kami ingin meningkatkan usaha bersama dalam setiap sektor dan untuk maju bersama dalam pelbagai bidang dengan Malaysia.

“Negara kita mempunyai ciri unik sebagai pintu masuk ke Asia dan Eropah,” katanya.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan berucap pada Syarahan Umum Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 10 FEBUARI 2025.

Selain itu, katanya, Turkiye ingin mengukuhkan lagi jambatan penerbangan dengan Malaysia dan kini dapat dilihat apabila lapangan terbang kedua terbesarnya dikendalikan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad.

“Saya menganggap langkah bersama kita dalam alam sivil sangat berharga,” katanya sambil mendoakan agar Malaysia berjaya sebagai tuan rumah kepada Kepengerusian ASEAN 2025.

“Saya amat berharap penggal baharu di bawah kepimpinan Malaysia ini dapat membantu  mengukuhkan kerjasama antara negara kita dan ASEAN.

“Kami juga berbangga dengan pencapaian Malaysia dalam diplomasi, pembuatan, kewangan dan perdagangan,” katanya.

Sementara itu, Erdogan berkata, Turkiye sentiasa menyatakan solidariti penuh kepada Malaysia dalam banyak isu terutamanya berkaitan dengan dunia Islam.

“Saya amat menghargai sokongan Malaysia terhadap Gaza dan perjuangan Palestin. Saya mengalu-alukan pendirian teguh Malaysia dalam memerangi Islamofobia.

“Kami juga berazam untuk meneruskan hubungan kami dengan Malaysia dalam D-8 dan memperdalam kerjasama dalam pembangunan ekonomi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here