KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dipercayai sudah lama bersedia untuk membersihkan nama mereka di mahkamah atas dakwaan skandal rasuah.
Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Sabahan (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, hasrat peguam Chin Tek Ming untuk mengheret mereka ke mahkamah bukan sesuatu perlu digentarkan.
“Hajiji termasuk seluruh Adun GRS telah lama bersedia dan akan tampil ke mahkamah pada bila-bila masa untuk membersihkan nama mereka mengenai isu skandal rasuah sambil membuktikan salah laku Jontih Enggihon kepada umum.
“G57 berkeyakinan Sabah Mineral Management (SMM) mempunyai bukti amat kukuh mengenai wujudnya perbuatan salah laku semasa Jontih menggalas jawatan ketua pegawai eksekutif agensi itu,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Sabtu lalu, media melaporkan, peguam Jontih itu mengumumkan rancangan untuk memanggil Ketua Menteri Sabah serta lapan Adun yang didakwa terlibat dalam skandal rasuah ke mahkamah.
Tek Ming yang juga penasihat undang-undang Parti Warisan Sabah (Warisan) berkata, beliau membayangkan untuk memanggil Hajiji, pada Adun dan individu lain berjumlah sehingga 20 individu yang terlibat dalam skandal rasuah itu.
Selain itu, Zulkarnain juga meyakini kewujudan bukti kukuh yang dimiliki SMM boleh mendedahkan wujudnya pakatan perniagaan atau kartel mineral Sabah di antara Jontih termasuk Datuk Albert Tei.
“G57 berharap pasukan peguam kepada SMM dapat bertanya kepada Albert termasuk Jontih mengenai tawaran rasuah ke atas Hajiji.
“Nilainya berjumlah jutaan ringgit untuk meluluskan kontrak mineral jutaan ekar tanah tetapi telah ditolak dengan amaran yang keras oleh Hajiji,” katanya lagi. – MalaysiaGazette