Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan berucap pada Syarahan Umum Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 10 FEBUARI 2025.

PUTRAJAYA – Cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk meneruskan pelan kontroversinya memindahkan penduduk Palestin dan mengambil alih Semenanjung Gaza tidak boleh dipandang remeh, khususnya umat Islam.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menegaskan, negara kuasa besar itu tidak wajar mengusir rakyat Palestin dari tanah yang mereka diami selama ribuan tahun.

“Insya-Allah tiada siapa yang boleh atau mampu untuk menimpakan nakba kedua kepada rakyat Palestin,” katanya ketika berucap pada Syarahan Umum sempena lawatan kerja dua harinya ke Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

‘Nakba’  membawa maksud malapetaka yang merujuk kepada penghapusan etnik Palestin yang bermula pada tahun 1948.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan berucap pada Syarahan Umum Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 10 FEBUARI 2025.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ibrahim dan isteri Presiden Türkiye, Emine Erdoğan.

Erdogan juga berkata, Turkiye tidak pernah tunduk kepada penindasan dan penindas, jauh sekali membiarkan penduduk Gaza dan Palestin bersendirian walaupun sesaat.

“Kami telah berusaha sedaya upaya untuk menghentikan serangan dan meminta mereka yang bertanggungjawab dihadapkan kepada mahkamah antarabangsa.

“Malangnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak dapat menghentikan pembunuhan beramai-ramai di Gaza yang meragut nyawa lebih 61,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak,” katanya.

Dalam pada itu, Erdogan mendesak Presiden Israel, Benjamin Netanyahu dan tentera zionis itu bertanggungjawab dan menanggung kemusnahan Gaza yang kini mencecah AS$100 bilion.

“Israel dan kerajaan Netanyahu bertanggungjawab terhadap rang undang-undang yang berat ini. Israel mesti membayar bil ini sendiri.

“Kerajaan Israel mesti membayar pampasan atas kemusnahan yang mereka lakukan dan proses pembinaan semula Gaza mesti dimulakan dengan kos kewangan ini.

“Setiap kerosakan yang tidak dibayar akan menjadikan pelakunya lebih ganas. Selepas melakukan banyak kemusnahan, penderitaan dan kekejaman, Israel tidak boleh dibiarkan begitu sahaja, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

“Netanyahu harus mencari sumber untuk menampung AS$100 bilion kerosakan yang dilakukannya di Gaza,” katanya.

Dalam pada itu, Erdogan berkata, umat Islam perlu meningkatkan usaha untuk menubuhkan negara Palestin yang merdeka dan bersepadu secara geografi dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.

“Saya percaya semua ini adalah kewajipan persaudaraan dan hutang hati nurani kepada rakyat Palestin yang tertindas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here