PETALING JAYA – Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) meneruskan kerjasama dengan jaguh larian menara negara Soh Wai Ching bagi membantu atlet itu meneruskan kariernya, selain mempromosikan bandaraya berkenaan kepada masyarakat dunia.
Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon berkata, menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani hari ini, MBPJ memberikan tajaan RM75,000 untuk membolehkan Wai Ching meneruskan penyertaan di peringkat antarabangsa dan mencapai misi merampas semula ranking nombor satu dunia pada tahun ini.
“MoU ini dimeterai adalah untuk mempromosikan Petaling Jaya sebagai sebuah bandar raya yang pintar, mampan dan berdaya tahan.
“Pada masa sama, ia juga bertujuan menjadikan bandar raya Petaling Jaya sebagai sebuah destinasi pelancongan yang boleh dilawati oleh pengunjung dari seluruh dunia yang menyediakan lokasi-lokasi pelancongan menarik, kepelbagaian jenis makanan dan kemudahan-kemudahan lain sempena Tahun Melawat Selangor 2025,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat MBPJ hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad Zahri berkata MoU yang dimeterai hari ini turut menetapkan syarat dan terma bersama termasuk kewajipan Wai Ching mengenakan baju atau jersi berlogo MBPJ dalam setiap pertandingan larian menara serta sesi temu ramah, sama ada di dalam atau di luar negara.
Beliau berkata sebagai sebahagian daripada usaha memartabatkan sukan larian menara, MBPJ turut menetapkan Petaling Jaya sebagai pusat latihan untuk melatih anak-anak muda menceburi sukan berkenaan seterusnya melahirkan ramai jaguh larian menara.
“Wai Ching akan buat sesi perkongsian di sekolah-sekolah sekitar Petaling Jaya dan kolej untuk mempromosi sukan larian menara.
“Wai Ching juga akan adakan sesi larian menara dan bengkel setiap minggu pada Sabtu bermula 5.30 petang hingga 7.00 malam sekiranya tiada kejohanan. Kami mahu lebih ramai orang menyertai acara ini kerana kami mahu melahirkan bakat baharu dan memastikan Malaysia menguasai larian menara,” katanya.
Sementara itu, Wai Ching berkata beliau berasa gembira apabila MBPJ tampil sebagai pihak berkuasa tempatan pertama yang menyokong sukan larian menara di negara ini.
Selain mengharumkan nama Malaysia dan MBPJ di mata dunia, beliau juga berhasrat untuk meneruskan kesinambungan usaha melahirkan bakat baharu dalam sukan berkenaan. – BERNAMA