Rais (tengah), Kalsom (kiri) dan Sapiah menyampaikan bantuan kepada murid sekolah.

MELAKA – Peniaga bazar Ramadan dan Aidilfitri yang dikesan menjual tapak niaga mereka kepada pihak ketiga atau dikenali ‘ali baba’ boleh berdepan tindakan batal lesen termasuk disenarai hitam tahun depan.

Exco Kanan Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, pihaknya memandang serius tindakan sedemikian walaupun belum menerima sebarang aduan setakat ini.

“Seperti yang dimaklumkan Perdana Menteri, kita di Melaka juga sememangnya akan melaksanakan perkara sama (batal lesen) dan kita harap semua peniaga berhati-hati.

“Ada syarat-syarat yang peniaga perlu patuhi daripada setiap penganjur tambahan pula kita ada beberapa bazar ikonik yang boleh membawa kepada isu-isu seperti itu (ali baba),” katanya.

Rais Yasin

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu di sini hari ini yang turut dihadiri ADUN, Datuk Kalsom Noordin.

Rais yang juga ADUN Paya Rumput berkata demikian ketika diminta mengulas amaran Perdana Menteri hari ini yang mengarahkan lesen peniaga yang memindah atau menjual lesen diperolehi kepada pihak lain dibatalkan serta merta.

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata, penguatkuasaan yang tegas bertujuan memberi keadilan kepada peniaga yang benar-benar mahu mencari rezeki di bulan Ramadan.

Mengulas lanjut Rais berkata, beliau akan memastikan kesemua empat pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan perbuatan ali baba itu tidak berlaku.

“Sebenarnya, tahun lalu kita juga tidak mengesan salah laku sebegini di mana-mana kawasan bazar Ramadan dan Aidilfitri di Melaka.

“Saya yakin tahun ini juga ia tidak akan berlaku kerana ada kesedaran dalam kalangan peniaga namun kita akan terus melakukan pemantauan,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 200 pelajar dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) turut menerima bantuan persekolahan yang disampaikan Rais, Kalsom dan Yang Dipertua MPHTJ Datin Sapiah Haron. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here