MELAKA – Melaka telah membelanjakan sebanyak RM149 juta buat golongan fakir, miskin, mualaf dan semua individu yang layak menerima sumbangan dan penganjuran program untuk memartabatkan syiar Islam sepanjang tahun lalu.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, bagi tahun ini pula, pelbagai bentuk program dan skim bantuan telah dirancang dan diagihkan bulan lalu kepada kumpulan-kumpulan asnaf di negeri ini.
“Antaranya termasuklah Skim Bantuan Persiapan Persekolahan kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf berjumlah RM5.1 juta dan Skim Bantuan Persediaan Ramadan dan Syawal serta pengagihan Fidyah berjumlah RM7.5 juta
“Pada pembentangan Bajet 2025 lalu, kerajaan negeri telah memperuntukkan amaun yang terbesar demi kelangsungan pengurusan dan pembangunan hal ehwal agama Islam Melaka membabitkan nilai RM85.3 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Agensi Agama Islam Negeri Melaka Bilangan 1, Tahun 2025, di Auditorium Masjid Al-Azim, di sini hari ini.
![](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2025/02/WhatsApp-Image-2025-02-10-at-3.01.24-PM.jpeg)
Mengulas lanjut, Ab Rauf yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berkata, nilai tersebut mencakupi perbelanjaan emolumen penjawat awam.
“Ini termasuklah bagi guru-guru Kelas Al Quran dan Fardu Ain (KAFA) tadika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), pengurusan pensijilan halal, pembelajaran pelajar, perbelanjaan pembangunan sekolah, masjid surau serta bantuan kebajikan kepada golongan yang memerlukan.
“Kerajaan negeri sentiasa mementingkan kebajikan semua kakitangan, sebab itu, elaun guru-guru KAFA dan tadika JAIM diselaraskan semula termasuklah memberi kemudahan cuti bersalin kepada guru wanita,” tambahnya lagi.
Selain itu, jelasnya kerajaan negeri turut memperuntukkan RM360,000 kepada ibu bapa bagi membiayai sebahagian yuran pendaftaran di tadika JAIM melalui Insentif Pelajar Tadika JAIM sebanyak RM100 bagi setiap murid.
“Semua inisiatif ini dilaksanakan demi memartabatkan syiar islam di samping meletakkan hal ehwal agama Islam sebagai perkara paling utama di dalam pengurusan pentadbiran,” tambahnya lagi. – MalaysiaGazette