Pengguna kini boleh mendapatkan barangan runcit menerusi mesin layan diri.

KUALA LUMPUR- Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), telah melancarkan mesin layan diri barangan runcit pertama di Malaysia.

Inisiatif ini menyediakan buah-buahan segar serta barangan keperluan harian termasuk kicap, bawang putih, makanan dalam tin, dan banyak lagi — secara terus kepada pengguna dengan kemudahan membeli tanpa tunai, tanpa sentuh, dan pada bila-bila masa.

Mesin layan diri kini semakin popular di Malaysia ekoran peningkatan pembayaran tanpa tunai serta permintaan terhadap akses kepada kedai runcit pada bila-bila masa.

Menurut laporan industri, permintaan kepada mesin layan diri kini tidak lagi terhad pada makanan ringan dan minuman, sebaliknya sekarang meliputi suplemen kesihatan, produk penjagaan kulit, dan hasil segar.

Ini mencerminkan peningkatan kecenderungan pengguna yang mengutamakan pengalaman pembelian yang mudah, automatik, dan bebas sentuhan, terutamanya di tempat-tempat tumpuan ramai seperti pusat membeli-belah, lapangan terbang, dan hospital.

“Pengguna hari ini mengutamakan kemudahan, dan mesin layan diri mengubah cara kita mendapatkan makanan dan barangan runcit.

“Dengan melancarkan mesin layan diri barangan runcit pertama di Malaysia, kami manyambut baik trend global ini dan pada masa sama, mengintegrasikan pembayaran digital dan automatik untuk mengubah cara jualan runcit bagi barangan segar,” kata Pengarah Kanan Bahagian Pendigitalan, Firdaus Ghani.

Bukti konsep (PoC) ini membolehkan FAMA mengkaji tabiat pengguna, menilai kecekapan operasi teknologi layan diri bagi barang runcit segar, serta meneroka potensinya untuk masa akan datang.

Mesin layan diri beroperasi sepenuhnya tanpa tunai, menerima pembayaran melalui DuitNow QR dan kaedah pembayaran digital lain, memastikan proses transaksi yang lancar dan selamat untuk pengguna.

Inisiatif ini selari dengan komitmen PayNet dan FAMA dalam mendigitasikan sektor pertanian dan peruncitan. Ia juga membuktikan bagaimana mesin layan diri runcit akan lebih memudahkan pengguna memperolehi keperluan mereka, mengurangkan kos operasi, dan memodenkan cara pengguna membeli hasil segar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here