KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) menjelaskan pemilihan syarikat untuk melaksanakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) perlu memenuhi sembilan syarat utama.
Menurutnya, syarat-syarat tersebut berdasarkan garis panduan yang telah ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333], termasuk syarat kelayakan, prosedur, peraturan, dan standard yang telah dipaparkan di laman sesawang MOT dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak
23 April 2024.
Antara syarat tersebut ialah berdaftar dan berlesen dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT); dimiliki sepenuhnya oleh syarikat tempatan dalam kategori Sdn. Bhd. atau Bhd.; memiliki modal berbayar (paid up capital) sekurang-kurangnya RM10 juta sepanjang tempoh perkhidmatan dan mempunyai modal kerja minimum RM5 juta setahun.
Selain itu, memiliki sijil perakuan pematuhan standard daripada Jabatan Standard Malaysia dalam tempoh dua tahun dari tarikh tawaran; menyediakan wang deposit atau bon minimum 5% daripada nilai modal kerja; memperoleh Sijil Kemudahan Yang Diluluskan (KYDL) daripada Jabatan Alam Sekitar sebelum pelesenan, berdaftar sebagai ahli International Motor Vehicle Committee (CITA) dalam tempoh dua tahun daripada tarikh pelesenan dan pemegang saham, pemilik syarikat, atau ahli lembaga pengarah syarikat tidak boleh mempunyai sebarang prosiding atau tindakan mahkamah atau
disenaraihitam oleh mana-mana pihak berkuasa.
MOT berkata, pihaknya menerima sebanyak 12 syarikat telah mengemukakan cadangan dalam proses Request For Proposal (RFP) sebelum tarikh tutup pada 31 Oktober 2024 dan semua permohonan telah dinilai mengikut prosedur yang ditetapkan dalam Pekeliling Perbendaharaan 2.8 – Tatacara Perolehan Secara RFP yang berkuat kuasa sejak 29 November 2022.
Daripada jumlah itu hanya tiga syarikat terpilih kerana memenuhi sepenuhnya syarat yang ditetapkan.
“MOT dan JPJ tidak menetapkan tempoh pendaftaran dengan SSM sebagai syarat kelayakan, sebaliknya keutamaan diberikan kepada kestabilan kewangan syarikat berdasarkan keupayaan menyediakan modal berbayar dan modal kerja yang mencukupi,” katanya dalam kenyataan di sini.
MOT menegaskan proses perolehan ini dilaksanakan berdasarkan tatacara perolehan dan kewangan yang berkuat kuasa bagi memastikan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan yang berkualiti, telus, dan kompetitif untuk manfaat rakyat.
Katanya, sejak 1994, Puspakom merupakan syarikat tunggal diberi mandat untuk menjalankan pemeriksaan kenderaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Oleh itu, tiada syarikat lain yang mempunyai pengalaman dalam melaksanakan fungsi-fungsi Puspakom sebelum ini.
Dalam aspek pemilihan lokasi, penetapan dibuat berdasarkan konsep “cross subsidy” bagi memastikan keseimbangan perkhidmatan antara kawasan berkapasiti tinggi dan rendah.
Konsep ini menghalang mana-mana syarikat daripada hanya memilih lokasi yang mempunyai volume tinggi semata-mata dan memastikan akses perkhidmatan pemeriksaan kenderaan kepada semua pengguna di seluruh negara.
“Ingin ditegaskan semula bahawa padanan lokasi bagi memenuhi hasrat seperti di atas telah ditetapkan oleh JPJ/ MOT dan bukannya oleh pihak syarikat.
“Ssurat tawaran kepada syarikat yang terpilih pada 7 Februari 2025 adalah kelulusan bersyarat, yang memerlukan syarikat memastikan penyediaan infrastruktur, peralatan, tenaga kerja, dan keperluan lain dalam tempoh 24 bulan sebelum lesen operasi dikeluarkan,” tambahnya.
Oleh demikian, pendekatan ini tidak akan melibatkan sebarang implikasi kewangan terhadap pihak kerajaan.
Bahkan, sekiranya syarikat gagal memenuhi syarat dalam tempoh yang ditetapkan, lesen operasi tidak akan diberikan, jelas MOT. – MalaysiaGazette