KUALA LUMPUR – Polis menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dalam menyertai mana-mana skim pelaburan khususnya perkongsian perniagaan mesin layan diri.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Komisioner Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, peringatan itu diberikan selepas polis menerima 58 laporan berkaitan skim pelaburan mesin layan diri oleh syarikat JV Smart Vending Sdn. Bhd.
Ia melibatkan kerugian keseluruhan berjumlah RM6,787,265 dan siasatan di Bawah Seksyen 420 kanun keseksaan sedang dijalankan.
Menurutnya, berdasarkan siasatan, syarikat tersebut menawarkan beberapa pakej pelaburan dengan keuntungan berbeza mengikut pakej yang disertai.
Bagaimanapun, keuntungan yang dijanjikan gagal dibayar.
Lebih malang lagi, kebanyakan pelabur didapati tidak mengetahui sama ada mesin layan diri yang didakwa oleh penganjur benar-benar wujud atau sebaliknya.
“Keputusan menyertai mana-mana skim pelaburan berkaitan perkongsian perniagaan seperti mesin layan diri ini hendaklah dibuat dengan amat berhati-hati. Lakukan semakan tentang kewujudan mesin yang didakwa, sahkan lokasi mesin tersebut diletakkan dan sebagainya.
“Sebaiknya, terlibatlah secara langsung dalam perniagaan tersebut dan tidak hanya meletakkan kepercayaan kepada pihak ketiga yang tidak dikenali.
“Seandainya berlaku kejadian di luar jangka seperti penipuan, individu yang terkesan boleh membuat aduan kepada agensi penguatkuasaan seperti polis, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan seumpamanya,” katanya.
Individu terkesan juga boleh memfailkan tuntutan terhadap syarikat penganjur di mahkamah sivil bagi mendapatkan semula kerugian yang dialami.
Jelasnya, tindakan membuat aduan kepada badan bukan kerajaan (NGO) tidak akan membantu sama ada untuk mendapatkan semula kerugian yang dialami mahupun mempercepatkan siasatan oleh agensi penguatkuasa.- MalaysiaGazette