KUALA LUMPUR – Semua pemimpin Islam wajib mempertahankan urusan berkaitan agama Islam dan tidak berat sebelah dalam melayan tuntutan-tuntutan yang dibuat penganut agama lain, kata Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid), Maridzi Sat.
Dalam masa sama tegas beliau, pemimpin bukan Islam juga seharusnya beradab dan belajar menghormati serta tidak mencampuri urusan agama penganut lain secara membabi buta.
“Para pemimpin Islam wajib melaksanakan amal makruf nahi mungkar, seperti yang diperintah Allah dalam al-Quran dan Sunnah. Kuasa pemerintah kena kuat untuk cegah kemungkaran,” katanya ketika sidang media di ibu kota, hari ini.
Maridzi merujuk kepada cadangan pelaksanaan garis panduan bagi umat Islam untuk menghadiri sambutan perayaan dan upacara agama lain.
Cadangan tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada umat Islam serta penganut bukan Islam memandangkan Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum.- MalaysiaGazette