Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Seri Khaw Kok Chin menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di Dewan Theatreatte, Menara 1 Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 10 FEBRUARI 2025

KUALA LUMPUR – Polis menahan lima individu dipercayai terlibat dalam sindiket pemprosesan dadah jenis serbuk jus MDMA bernilai RM1.45 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Komisioner Polis Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, pihaknya telah menangkap empat lelaki dan seorang wanita yang berumur dalam lingkungan 36 hingga 46 tahun dalam beberapa siri operasi di sekitar Lembah Klang dan Kuala Lumpur, 4 Februari lalu.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini menjadikan sebuah kondominium mewah di Taman Suntex, Cheras, Selangor sebagai lokasi penyimpanan dan pemprosesan dadah jenis MDMA.

“Unit kondominium tersebut disewa dengan kadar RM2,300 sebulan dan dipercayai telah digunakan sejak Oktober 2024 bagi aktiviti pengedaran dadah di pusat-pusat hiburan sekitar Lembah Klang,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.

Selain itu, pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah termasuk heroin base seberat 9,845 gram, heroin 233.45 gram, syabu 1,174 gram, serbuk MDMA 131.83 gram, pil yaba 113.17 gram, cecair vape 84.70 ml, pil ekstasi 484.36 gram, ganja 321.80 gram, dan pil erimin 5 seberat 983.46 gram.

“Jumlah dadah yang dirampas dianggar boleh digunakan seramai 72,752 orang penagih.

“Kami turut menyita dua buah kereta dan tiga utas jam tangan bernilai RM36,750 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, menjadikan jumlah keseluruhan nilai rampasan dan sitaan mencecah RM1.49 juta,” tambahnya.

Hasil semakan mendapati tiga daripada lima suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah di mana suspek pertama memiliki 16 rekod dadah dan empat rekod jenayah, suspek kedua mempunyai lapan rekod dadah, manakala suspek ketiga mempunyai 15 rekod dadah dan lima rekod jenayah.

Ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah semasa penangkapan mereka.

Kesemua suspek telah ditahan reman sejak 5 Februari lalu dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kok Chin turut mempercayai bahawa sumber dadah diperoleh dari sempadan utara tanah air sebelum dibawa masuk ke Lembah Klang untuk diproses dan diedarkan.

Bagaimanapun, setakat ini, siasatan tidak menemui sebarang kaitan sindiket ini dengan kumpulan jenayah kongsi gelap. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here