JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) terutama UMNO Johor perlu adil dan tidak menjadi ‘Abang Long’ dengan mendominasi kerusi berpotensi menang dalam pembahagian kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Johor, Muhammad Faezuddin Mohd Puad berkata, perundingan pembahagian kerusi nanti perlu mempraktikkan prinsip menang-menang melibatkan kedua-dua belah gabungan parti politik berkenaan.
“Tiada satu pihak pun sepatutnya menjadi ‘abang long’ yang mendominasi atau hanya tumpu merebut kerusi-kerusi gred A yang memiliki potensi besar untuk memenangi pilihanraya.
“Tiada istilah negeri Johor milik parti tertentu atau parti tertentu lahir di sini,” katanya satu dalam kenyataan.
Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros dilaporkan berkata, BN mempunyai peluang lebih baik untuk memenangi kerusi Parlimen Tier 2 pada pilihan raya umum (PRU) akan datang jika berganding bahu dengan PH.
Noor Azleen berkata, pihaknya yakin kerjasama tersebut boleh mencakupi kerusi dalam kategori Tier II.
Kerusi yang telah dan sedia dimenangi BN-PH adalah Tier I, manakala dua gabungan berkenaan kalah dalam kerusi kategori Tier II.
Mengulas lanjut, Faezuddin berkata, langkah itu perlu disambut kedua-dua belah pihak dengan pendekatan yang adil, berasaskan keikhlasan dan semangat perpaduan.
Pihaknya kata beliau, percaya kerjasama BN-PH akan mampu membawa kesan positif kepada keputusan pilihan raya di peringkat negeri dan Persekutuan.
Cadangan Noor Azleen itu pula katanya, semua parti kompenen dalam PH akan bersetuju dan tidak akan menolaknya.
“Ketua Pemuda UMNO Johor kata kalau PH-BN bersama-sama peluang untuk kita menang dalam PRU akan datang sangat cerah. Banyak kerusi kita boleh tawan. Saya yakin pemimpin Keadilan, Amanah (Parti Amanah Negara) dan DAP dalam PH boleh bersetuju dengan cadangan ini.
“Bukan setakat kerjasama ketika PRU, tetapi UMNO juga perlu berpakat dengan PH dalam PRN akan datang dan juga sekarang ini di mana pentadbiran kerajaan negeri masih berjalan,” ujarnya .
BN katanya, perlu membuktikan keikhlasan kerjasama tersebut dengan menjemput pemimpin PH menyertai pentadbiran di pelbagai peringkat negeri, daerah dan komuniti setempat.
Tegasnya, kerjasama itu perlu bermula sekarang dan UMNO boleh menjemput pemimpin PH menyertai pentadbiran kerajaan negeri dalam pejabat daerah sebagai ketua kampung dan sebagai ahli majlis di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Semangat perpaduan kerajaan negeri sudah pun berlaku di negeri Selangor, Pahang, Pulau Pinang dan Melaka tetapi tidak di Johor,” katanya lagi.- MalaysiaGazette