Datuk Mohd Sumali Reduan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 15 negara bakal memeriahkan saingan Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 yang akan berlangsung di Stadium Titiwangsa di sini, pada Mei depan.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Mohd Sumali Reduan berkata antara negara yang telah mengesahkan penyertaan dalam edisi sulung kejohanan ini ialah Malaysia, India, Singapura, Brunei, Iraq, Myanmar, Indonesia, Vietnam, Jepun, dan Taiwan.

Selain itu, kejohanan turut disertai jaguh dunia seperti Thailand, Korea Selatan, China, Pakistan, dan Filipina.

“Semalam, kami mengadakan mesyuarat persiapan Piala Asia 2025 bersama beberapa exco Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) dan telah memutuskan bahawa 15 negara telah mengesahkan penyertaan mereka.

“Seperti yang diketahui, Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia tahun ini akan mempertandingkan empat acara utama iaitu regu (mandatori), double, quadrant, dan berpasukan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Mohd Sumali berkata acara quadrant menerima sembilan penyertaan, double (tujuh), dan berpasukan (lapan), sekali gus menunjukkan perkembangan positif dalam kejohanan ini.

“Setakat ini, belum pernah ada Piala Asia yang dianjurkan secara sistematik dengan empat acara seperti ini,” tambahnya.

Dalam pada itu, PSM telah mencadangkan penambahbaikan sistem “challenge” dalam kejohanan antarabangsa, termasuk temasya sukan, kepada ASTAF.

Menurut beliau, cadangan itu bertujuan memastikan pasukan tidak kehilangan peluang “challenge” sekiranya keputusan berpihak kepada mereka.

“Sistem sedia ada memperuntukkan dua peluang “challenge”, tetapi ia tetap dipotong setiap kali digunakan, sama ada menang atau kalah.

“Saya telah mengemukakan cadangan rasmi kepada ASTAF dan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) supaya pasukan yang memenangi “challenge” dapat mengekalkan peluang mereka, bukannya dikurangkan,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here