CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang melakukan siasatan ke atas enam individu yang dipercayai memuat naik kandungan berunsur palsu dan jelik melibatkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Majlis Raja-Raja di platform media sosial Facebook.
MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan, satu operasi pemeriksaan telah dijalankan hari ini melibatkan salah seorang suspek di Setapak, Kuala Lumpur yang memuat naik kandungan palsu terhadap Mesyuarat Majlis Raja-Raja.
Dalam operasi itu, katanya, satu unit telefon pintar dan satu unit kad sim yang berkaitan dengan kes telah disita bagi membantu siasatan.
“Analisis forensik akan dijalankan ke atas peranti berkenaan untuk mendapatkan keterangan bagi membuktikan kes.
“Selain itu, satu kes akan disiasat bersama dengan pasukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) PDRM, yang mana suspek akan diambil keterangan esok (12 Februari) bersama-sama dengan USJT,” demikian menurut kenyataan itu hari ini.
Sementara itu, tambah kenyataan tersebut, operasi pemeriksaan bagi kes-kes lain pula akan dijalankan sepanjang minggu ini ke atas semua suspek di lokasi berasingan iaitu di sekitar Sungai Petani; Kota Bharu; Kerian dan Teluk Intan.
Terdahulu, katanya, dua notis telah dikeluarkan oleh MCMC kepada dua suspek untuk hadir memberikan keterangan bagi kandungan yang dimuat naik oleh mereka di platform media sosial Facebook.
“Siasatan menyeluruh akan dibuat dan seterusnya kes akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk keputusan selanjutnya.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588],” katanya.
Dalam pada itu, MCMC mengingatkan orang ramai untuk tidak menggunakan perkhidmatan rangkaian dan aplikasi dalam talian untük memuat naik sebarang kandungan maklumat palsu atau tidak benar yang boleh membawa kesan serius sehingga mencetuskan panik dan kegusaran kepada masyarakat.
Dalam masa sama orang ramai juga diingatkan berwaspada dengan kandungan yang dimanipulasi dan sentiasa melakukan pengesahan fakta dan semak silang dengan pelbagai sumber yang dipercayai sebelum berkongsi
sebarang maklumat.
“Gunakan Chatbot AIFA sebagai platform untuk menyemak berita yang tidak ditentusahkan dalam talian. AIFA direka untuk menjadi mesra pengguna dan boleh diakses 24 jam melalui portal Sebenarnya.my serta aplikasi WhatsApp.
“Pengguna dapat berinteraksi dengan chatbot ini dalam empat bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil,” katanya. – MalaysiaGazette