Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi, Lajnah Penerangan Pas Pusat, Nurul Islam Mohamed Yusoff. - Foto: FB Nurul Mohamed Yusoff.

KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke diminta untuk berterus terang mengenai pelantikan tiga syarikat baharu bagi Perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM).

Menurut Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi, Lajnah Penerangan Pas Pusat, Nurul Islam Mohamed Yusoff, pelantikan tiga syarikat itu dilihat bercanggah dengan garis panduan Kementerian Pengangkutan.

Ini kerana syarikat yang dilantik itu sama sekali tiada pengalaman dan kepakaran dalam bidang yang diperlukan iaitu automotif.

“Bila permohonan lesen, maka kementerian dan JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) sudah tetapkan syarat untuk pemohon lesen ketika iklan ini dikeluarkan. Maka semua pemohon akan dinilai berdasarkan syarat yang ditetapkan tersebut.

“Masalahnya di sini sekarang, Kerajaan Madani lantik tiga buah syarikat yang tidak menepati garis panduan yang kementerian keluarkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Nurul Islam mengulas kenyataan Anthony yang berkata, pelantikan itu dibuat selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Mac 2023 yang bersetuju untuk membuka perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor yang diwajibkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) kepada syarikat-syarikat lain yang berkelayakan.

Tiga syarikat terpilih untuk fasa pertama ialah Wawasan Bintang Sdn Bhd; Pakatan Petroleum Sdn. Bhd; dan Beriman Gold Sdn. Bhd.

Lesen berkenaan boleh beroperasi selama 10 tahun namun perlu diperbaharui setiap tahun.

Dalam pada itu, Nurul Islam berkata, terdapat beberapa garis panduan yang tidak dipenuhi oleh ketiga-tiga syarikat dilantik itu ialah objektif spesifik dan dokumen asas permohonan yang diperlukan oleh MOT dan JPJ.

“Muka surat 5, Perkara (7) (iii) menyebut ‘Mempunyai kepakaran dalaman dalam bidang perkhidmatan berkaitan dan mampu membangunkan satu standard/prosedur pemeriksaan dalaman berpandukan kepada perundangan atau peraturan-peraturan semasa yang ditetapkan oleh JPJ.

“Mempunyai ‘kepakaran’ dalam bidang perkhidmatan berkaitan. Dua syarikat nature of business tidak berkaitan dan sebuah syarikat baru tubuh lapan bulan yang lepas.

“Muka surat 17, Perkara (27)(X) menyentuh rekod pengalaman yang berkaitan/seumpama projek ini. Agak-agak tiga syarikat yang dilantik ini hantar rekod apa masa memohon? Nak-nak syarikat yang lapan bulan tu, saya sangat teringin nak tahu.

“Terang lagi bersuluh lantikan tiga syarikat ni bercanggah dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh MOT dan JPJ sendiri. Anthony (Menteri Pengangkutan) boleh tak jangan pusing-pusing,” ujarnya.

Oleh yang demikian, Nurul Islam menggesa supaya Kementerian Pengangkutan memberikan jawapan berhubung isu tersebut di samping mendedahkan senarai syarikat yang turut memohon lesen bagi mengendalikan perkhidmatan itu.

We need a straight answer, kenapa lantik syarikat tiada pengalaman? Saya juga nak cabar Anthony Loke dedahkan senarai 12 syarikat yang dikatakan memohon lesen ini supaya rakyat buat perbandingan.

“Kenapa tiga syarikat ini yang diberikan lesen? Berani ker Anthony Loke?” soalnya.

MOT pada 7 Februari lalu mengumumkan pelantikan tiga syarikat baharu bagi mengendalikan PPKM, sekali gus menamatkan monopoli Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Ketiga2 syarikat tak ada pengalaman dlm industri automatif..apatah lg yg baru 8 bulan ditubuhkan..tak ada track record..so di pilih atas sebab apa? Menteri DAP dah bisu kaaa??? rakyat nak tahu

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here