KUANTAN – Gara-gara tawaran untung RM15,000, seorang doktor terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud sehingga menagalami kerugian RM433,700.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahya Othman berkata, mangsa merupakan wanita berusia 44 tahun itu pada mulanya telah melihat iklan pakej pelaburan bitcoin di aplikasi Telegram (Bit Coin Group).
Mangsa kemudiannya erminat dengan tawaran tersebut dan telah menekan link yang disediakan di dalam grup tersebut.
”Kemudian link tersebut telah menyambungkan mangsa kepada whatsapp pentadbir group. Terdapat beberapa pakej pelaburan yang ditawarkan bermula dari RM500 sehingga RM5,000,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mangsa memilih pakej asas dengan modal RM500 dan mendapat keuntungan sebanyak RM15,000 dalam masa tiga jam.
Sepanjang tempoh pelaburan tersebut, mangsa telah membuat pembayaran 22 kali transaksi ke 16 akaun yang berlainan secara berperingkat berjumlah RM433,700.
Bagaimanapun mangsa tidak mendapat apa-apa pulangan dan merasa ditipu terus membuat laporan polis.
Manakala kes kedua pula melibatkan mangsa seorang warga emas wanita berumur 61 tahun merupakan seorang ahli perniagaan yang telah menerima satu panggilan yang memperkenalkan dirinya kononnya sebagai staf Tenaga Nasional Berhad (TNB).
”Suspek memaklumkan mangsa terlibat dengan kes kecurian elektrik di rumah mangsa dan beliau juga ada menjumpai kad bank di dalam rumah tersebut.
”Beliau memberitahu mangsa terlibat dengan kegiatan wang haram dan menyambungkan panggilan tersebut kononnya ke Ibupejabat Polis Kontijen (IOPK) Kuantan dan mangsa telah bercakap dengan pegawai polis berpangkat inspektor,” tambahnya.
Mangsa menafikan dan suspek meminta mangsa untuk membuat laporan polis selain membuat pindahan wang ke akaun yang telah diberikan oleh suspek.
Mangsa telah membuat pindahan wang sebanyak 26 kali transaksi berjumlah RM131,500.
Yahaya berkata, wang berkenaan adalah wang simpanan peribadi dan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) milik mangsa.
Selain itu, suspek juga telah menghantar surat waran tangkap dan kononnya laporan juruaudit Bank Negara berkenaan wang yang telah diambil.
Susulan itu pada 21 Januari lalu, mangsa telah dihubungi oleh individu yang tidak dikenali sekali lagi dan meminta mangsa untuk memasukan wang dan mangsa berasa telah ditipu.
Polis menasihatkan orang ramai agar membuat semakan dahulu sebelum membuat sebarang pelaburan atas talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan. – MalaysiaGazette