TOKYO – Seorang kakitangan kementerian kewangan Jepun yang keluar malam bersama rakan sekerja kehilangan dokumen mengandungi data peribadi 187 individu disyaki menyeludup dadah, lapor media tempatan.
Pekerja yang tidak dinamakan itu dilaporkan minum sembilan gelas bir semasa keluar malam selama lima jam bersama rakan-rakan di Yokohama pada 6 Februari lalu.
Dia tidak menyedari kehilangan begnya sehingga dia keluar dari kereta api untuk pulang ke bandar Sumida.
Kementerian Kewangan berkata, ia “sangat menyesal” susulan insiden itu yang “menggugat kepercayaan orang ramai”, lapor NHK.
Beg itu mengandungi dokumen nama dan alamat 187 penyeludup dadah yang disyaki dan penerima benih ganja, kata kementerian itu.
Ia juga mengandungi komputer riba perniagaan dengan data peribadi pekerja.
Pekerja itu ditugaskan di biro kastam dan tarif. – Agensi