BERLIN – Edisi sulung Sukan Olimpik Esports akan berlangsung di Riyadh pada 2027, menurut Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada Selasa, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Pengumuman itu bermakna temasya berkenaan akan diadakan dua tahun lebih lewat daripada jangkaan asal, susulan perjanjian dengan negara tuan rumah, Arab Saudi, yang dimeterai tahun lalu.
IOC memaklumkan bahawa Yayasan Piala Dunia Esports (EWCF) akan menjadi Rakan Pengasas bagi Sukan Esports itu, dengan “kepakarannya dalam pemilihan permainan, struktur kejohanan dan penglibatan ekosistem untuk memacu inovasi dalam pembangunan Sukan Olimpik Esports.
Edisi pertama Piala Dunia Esports diadakan di Riyadh tahun lalu.
Pada 2024, IOC memutuskan untuk mewujudkan Sukan Olimpik Esports dan menandatangani perjanjian 12 tahun dengan Jawatankuasa Olimpik dan Paralimpik Arab Saudi (SOPC) bagi menganjurkan acara itu secara tetap.
Pada asalnya, edisi pertama dijangka berlangsung pada November 2025.
IOC berkata, sebuah suruhanjaya yang terdiri enam anggota daripada IOC dan SOPC akan menentukan permainan yang akan dipertandingkan.
IOC turut menegaskan bahawa permainan yang dipilih mesti selaras dengan nilai Olimpik, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada permainan menembak akan disertakan dalam program temasya itu.
Pengumuman pada Selasa dibuat dua hari selepas delegasi IOC diketuai Presiden yang akan bersara, Thomas Bach, mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman dan pegawai lain di Riyadh. – BERNAMA