Adnan Mat
Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kejayaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) atas pencapaian luar biasa mengutip hasil bersih sebanyak RM65.57 bilion tahun lalu membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkasakan pentadbiran awam.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat berkata, kejayaan JKDM meningkatkan hasil negara membuktikan reformasi sistem percukaian, pengurusan ekonomi telus, serta strategi kerajaan dalam menutup ketirisan telah membuahkan hasil memberangsangkan.

“CUEPACS juga menyokong usaha kerajaan memperkasa JKDM dengan sokongan sumber manusia dan teknologi yang lebih canggih bagi memastikan hasil negara dapat terus dipertingkatkan.

“Pelaburan dalam sistem digitalisasi dan automasi akan memastikan kecekapan yang lebih tinggi dalam pemungutan cukai serta mempercepatkan proses pentadbiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, CUEPACS menyeru kerajaan untuk terus memberi kepercayaan kepada penjawat awam dalam meneruskan agenda pembangunan negara.

Katanya, kejayaan itu wajar dijadikan model untuk jabatan lain dalam meningkatkan keberkesanan perkhidmatan awam, sekali gus memperkukuhkan kepercayaan rakyat terhadap keupayaan sektor awam dalam mengurus sumber negara dengan cekap dan berintegriti.

“Kejayaan ini bukan sahaja membuktikan kecekapan serta dedikasi tinggi penjawat awam dalam sektor percukaian negara, tetapi juga hasil daripada dasar ekonomi dan pentadbiran di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“CUEPACS ingin merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin atas kepimpinan cemerlang beliau dalam mengemudi JKDM sehingga mencapai kejayaan luar biasa ini,” katanya lagi.

Menurut Adnan, sebagai penerima Anugerah Tokoh Wanita CUEPACS 2024, kejayaan ini menjadi bukti nyata keupayaan dan dedikasi Anis Rizana dalam memperkasakan jabatan serta memastikan pengurusan hasil negara yang lebih cekap dan berintegriti.

Tambahnya, pencapaian itu juga mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuhkan integriti dan profesionalisme dalam perkhidmatan awam, khususnya dalam mengoptimumkan pemungutan hasil negara.

“CUEPACS turut menyokong usaha kerajaan memperkasakan JKDM melalui sokongan sumber manusia dan teknologi canggih bagi meningkatkan kecekapan pemungutan cukai serta mempercepatkan proses pentadbiran melalui sistem digitalisasi dan automasi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here