KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyeru kerajaan mempercepatkan agenda reformasi institusi, memperkukuh mekanisme pemantauan serta meningkatkan ketelusan dalam pengurusan sumber awam.
Ia selepas keputusan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2024 berdasarkan laporan Transparency International Malaysia (TI-M) hari ini yang meletakkan kedudukan Malaysia tidak berubah iaitu kekal di tangga ke -57 seperti tahun sebelumnya.
Menyifatkan keputusan itu sebagai syarat perlu pembaharuan menyeluruh, Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, ia juga mencerminkan usaha pembanterasan rasuah masih belum cukup untuk membawa perubahan ketara dalam persepsi global terhadap tadbir urus negara.
“Walaupun tiada kemerosotan dalam kedudukan Malaysia hakikat bahawa kita tidak menunjukkan peningkatan juga memberi isyarat bahawa reformasi struktur masih belum cukup berkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Jais menjelaskan, CPI bukan sekadar mengukur keberkesanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau pendakwaan kes berkaitan rasuah tetapi turut mengambil kira aspek tadbir urus secara menyeluruh.
Ia kata beliau, termasuk aspek reformasi undang-undang melibatkan kecekapan dan ketelusan sistem perundangan dalam memastikan keadilan dan integriti.
Selain itu, katanya, aspek ketelusan pentadbiran dan birokrasi dalam mengurangkan kerenah birokrasi dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam.
Aspek lain, ujar beliau, termasuk daya saing dan produktiviti ekonomi ke arah mewujudkan persekitaran ekonomi yang telus dan bebas daripada pengaruh korupsi.
Turut diambil kira aspek kestabilan politik dan dasar awam yang menjurus kepada keyakinan masyarakat dan pelabur terhadap pentadbiran kerajaan serta perlindungan terhadap pemberi maklumat dalam memastikan individu yang melaporkan salah laku dilindungi sepenuhnya.
“Sehubungan itu, MCW menggesa agar perbincangan mengenai CPI tidak hanya tertumpu kepada rasuah semata-mata, tetapi merangkumi aspek governance (tata kelola) secara menyeluruh.
“Jika Malaysia ingin melonjak dalam kedudukan CPI pada masa hadapan, perubahan yang lebih mendalam perlu dilakukan dalam semua sektor pentadbiran dan ekonomi negara,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: