Remaja lelaki berusia 19 tahun ditemukan lemas ketika beriadah di Taman Rekreasi Sungai Kedondong, Jalan Batang Kali, Genting, Hulu Selangor, kira-kira pukul 1 tengah hari tadi.

HULU SELANGOR – Polis akan memanggil enam rakan kepada remaja 19 tahun yang ditemukan lemas di kawasan air terjun, Sungai Kedondong, Gohtong Jaya, di sini untuk diambil keterangan dalam masa terdekat.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superitenden Ahmad Faizal Tahrim berkata, kesemua enam rakan lelaki yang seusia dengan mangsa sudah dikenal pasti untuk membantu siasatan.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan remaja lelaki yang dikenali sebagai Adam Ashraf Mohd Amir disahkan meninggal dunia selepas lemas ketika beriadah di Taman Rekreasi Sungai Kedondong, Jalan Batang Kali, kira-kira jam 1 tengah hari tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai insiden itu, kira-kira jam 11.43 pagi tadi.

Ahmad Mukhlis berkata, remaja malang itu ditemui kira-kira 3 meter radius dari lokasi mangsa dilaporkan lemas.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal juga mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut kira-kira jam 11.37 pagi tadi.

“Hasil siasatan polis mendapati mangsa merupakan warga tempatan berumur lingkungan 19 tahun yang mandi sehingga  lemas di kawasan perkelahan tersebut.

“Pada jam 12 tengahari pihak polis bersama bomba telah berjaya mengeluarkan mayat mangsa  di lokasi kejadian,” katanya.

Menurut Ahmad Faizal lagi, hasil bedah siasat oleh forensik Hospital Kuala Kubu Bharu mendapati, punca kematian disebabkan lemas.

“Kes telah diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut. Orang ramai dinasihatkan sentiasa peka terhadap keselamatan diri sewaktu beriadah bersama keluarga atau rakan-rakan bagi mengelak sebarang kemalangan tidak diingini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here