KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MOF) menegaskan laporan berhubung jangkaan kenaikan harga kenderaan secara signifikan bermula tahun depan tidak tepat.
MOF dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya sehingga kini belum membuat sebarang keputusan muktamad.
Dalam masa sama MOF dan Kementerian Pelaburan, Antarabangsa dan Industri (MITI) bersama pihak industri automotif sedang meneliti kaedah penilaian kenderaan bagi memastikan pengenaan cukai dilaksanakan secara adil, seragam dan neutral serta konsisten.
“Merujuk kepada laporan berita berhubung jangkaan kenaikan harga kenderaan secara signifikan bermula tahun 2026 susulan penguatkuasaan sepenuhnya peraturan cukai eksais baharu, P.U.(A) 402/2019 – Peraturan Cukai Eksais (Penentuan Nilai Barangan yang Dihasilkan Secara Tempatan untuk Tujuan Mengenakan Cukai Eksais), Kementerian Kewangan (MOF) ingin menegaskan bahawa laporan tersebut adalah tidak tepat,” demikian menurut kenyataan tersebut.
Sebelum ini, pelbagai pihak melahirkan kebimbangan berkenaan kemungkinan berlakunya kenaikan harga kereta yang dijangka pada tahun 2026, berikutan semakan cukai eksais bagi nilai pasaran terbuka (OMV, Open Market Value) terhadap kereta pemasangan tempatan (CKD).
Kenaikan harga itu dijangka akan melibatkan peningkatan antara 10 peratus hingga 30 peratus, sekali gus disifatkan bakal memberi kesan besar kepada pengguna dan industri automotif di Malaysia. – MalaysiaGazette