Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau mengusir tiga bot serta sembilan pemancing warganegara Indonesia selepas dikesan menceroboh perairan negara, Tawau Sabah, Ahad lalu.

TAWAU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau mengusir tiga bot serta sembilan pemancing warganegara Indonesia selepas dikesan menceroboh perairan negara di sini Ahad lalu.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, tindakan dilakukan pihaknya menerusi operasi khas, Op Pluto Timur.

“Bot peronda Maritim Malaysia telah mengesan dan menahan ketiga-tiga bot tersebut di kedudukan antara 2.5 hingga 5.6 batu nautika utara Burst Point sekitar pukul 1 tengah hari,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Shahrizan juga berkata, kesemua suspek telah memasuki perairan Malaysia tanpa kebenaran serta tidak memiliki sebarang dokumen yang sah.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua sembilan lelaki terbabit berusia antara 28 hingga 52 tahun tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Maritim Malaysia menahan tiga bot nelayan bersama tiga enjin sangkut 15hp serta hasil tangkapan laut dianggarkan bernilai RM20,000.

Selain itu Maritim Malaysia turut menahan tiga bot nelayan bersama tiga enjin sangkut 15hp serta hasil tangkapan laut dianggarkan bernilai RM20,000.

Susulan penahanan tersebut, semua individu terbabit diserahkan kepada Konsulat Republik Indonesia bagi proses pengusiran.

“Tindakan itu diambil berdasarkan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Republik Indonesia dan Kerajaan Malaysia.

“Ia berkaitan dengan garis panduan perlakuan terhadap nelayan oleh agensi penguatkuasaan maritim kedua-dua negara yang ditandatangani pada 27 Januari 2012,” ujarnya.

Katanya lagi, selepas proses dokumentasi selesai, ketiga-tiga bot berkenaan diiring ke sempadan perairan Malaysia-Indonesia untuk dihantar pulang ke negara asal.

“Maritim Malaysia akan terus memperkukuh operasi penguatkuasaan bagi membanteras sebarang pencerobohan dan aktiviti haram di Zon Maritim Malaysia, khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE).

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah maritim atau kecemasan di sekitar perairan Tawau boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 atau talian kecemasan 999,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here