KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) mengulangi komitmen untuk memastikan kerjasama antara PH dan Barisan Nasional (BN) di Kedah terus diperkuat dengan pendekatan yang sinergi dan saling melengkapi.
Perkara itu antara yang dicapai dalam pertemuan antara barisan kepimpinan BN dan Biro Politik UMNO Kedah yang diketuai Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid dengan Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail petang semalam.
Menurut Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri, pertemuan itu berlangsung dalam suasana penuh muhibah, mengukuhkan silaturahim serta mempererat kesefahaman antara kedua-dua pihak.
“UMNO Kedah baru sahaja selesai sesi pemukiman mereka dan kunjungan ini berkebetulan berlangsung usai pelantikan saya sebagai Pengerusi Harapan Kedah baru-baru ini.
“Perbincangan tadi mencapai titik temu terutama dari sudut gerak kerja yang tersusun dan komunikasi selaras di peringkat kepimpinan negeri sehingga akar umbi.
“Saya mengulangi komitmen untuk memastikan kerjasama antara PH dan BN di Kedah terus diperkuat dengan pendekatan yang sinergi dan saling melengkapi,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau malam tadi.
Dalam pada itu, Saifuddin Nasution turut berharap persefahaman erat antara BN Kedah dan PH itu mampu diterjemahkan dengan usaha sama yang sederap, bagi memastikan keutuhan Kerajaan Madani terus dikekalkan.
“Terima kasih kepada teman-teman UMNO Kedah atas kunjungan dan perbincangan produktif ini. Kita terus bergerak kedepan dengan semangat perpaduan,” katanya. – MalaysiaGazette