SUBANG JAYA – Dua rakaman video berdurasi 1 minit 51 saat dan 39 saat yang memaparkan dua lelaki Cina melepaskan ular sawa di kawasan longkang di Jalan Persiaran Putra Permai, Putra Heights, di sini, sebenar video lama.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, hasil siasatan awal mendapati, haiwan reptilia itu dilepaskan pada pertengahan Januari lalu.
“Siasatan dijalankan oleh Ketua Polis Balai Putra Heights dan mendapati ular tersebut telah dilepaskan pada pertengahan Januari 2025.
“Kes dirujuk kepada Jabatan Perhilitan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum itu, Wan Azlan memaklumkan, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan mengenai perkara itu di Balai Polis Putra Heights, kira-kira jam 5.52 petang, pada 3 Februari lalu.
“Pada 3 Februari 2025, kira-kira jam 10.15 pagi, semasa pengadu berada di rumah di Subang Jaya, pengadu telah membuka aplikasi WhatsApp.
“Pengadu telah melihat satu video berkenaan dua lelaki dan seorang perempuan menaiki kenderaan melepaskan tiga ekor ular sawa di kawasan longkang di Jalan Persiaran Putra Permai, Putra Heights.
“Pengadu datang ke Balai Polis Putra Heights membuat laporan kerana bimbang akan keselamatan diri dan keluarga di kemudian hari serta untuk rujukan pihak berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Perhilitan Selangor, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh yang dihubungi MalaysiaGazette memberitahu, pihaknya akan melakukan siasatan berkenaan insiden itu.
“Kami akan siasat berhubung perkara ini dahulu,” katanya. – MalaysiaGazette