KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki Cina warga tempatan di sini semalam kerana didapati menceroboh masuk ke dalam pos pintu masuk Icon Residence, Mont Kiara, Persiaran Dutamas di sini pada 6 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, dalam kejadian pukul 11.45 pagi itu suspek didapati mengganggu sistem kawalan daftar QR menyebabkan kerosakan kepada sistem kawalan palang.
“Ketika kejadian, seorang pengawal keselamatan sedang bertugas di pintu masuk utama dan terdapat dua lelaki Cina telah menceroboh masuk ke dalam pos.
“Seorang dari dua lelaki itu ditahan polis pukul 3.14 petang semalam dan suspek berusia 54 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad Sukarno, kes itu disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana melakukan pencerobohan jenayah.
Sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum enam bulan atau didenda yang boleh sampai RM3,000 atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette