PELABUHAN KLANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) kelas C di perairan Selangor, kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.
Pengarahnya, Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, penahanan dibuat ketika pihaknya sedang melaksanakan rutin operasi di kedudukan 9.2 batu nautika barat daya Pulau Tengah.
“Pemeriksaan awal mendapati, vesel itu dikendalikan oleh seorang tekong bersama empat kru warga Myanmar berusia antara 18 hingga 42 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati, tekong dan kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah atau surat kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk berkerja di atas vesel tersebut.
“Mereka juga melakukan aktiviti penangkapan ikan kurang dari 15 batu nautika dari daratan,” katanya.
Selain itu vesel tersebut didapati melanggar syarat tambahan iaitu tidak mengibarkan bendera Malaysia semasa belayar.
“Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana kesemua kru tiada dokumen pengenalan diri yang sah.
“Mereka juga disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu melakukan aktiviti menangkap ikan kurang dari 15 batu nautika dari daratan.
“Selain itu, mereka juga menggaji warga asing tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan melanggar syarat tambahan iaitu beroperasi tanpa mengibarkan bendera Malaysia,” katanya.

Katanya lagi, kesemua kru, vesel dan hasil tangkapan ikan pelbagai jenis seberat 50 kilogram dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk tindakan lanjut.
Sebarang aduan, maklumat dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor melalui talian 03-317 60627 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera. – MalaysiaGazette