PASIR GUDANG – Hasrat seorang suri rumah mahukan dua anak lelakinya berkhatan tercapai selepas tiga tahun menangguhkannya kerana tidak mampu.
Sahzelemah Othman, 34, kini lega kerana anak lelaki kedua dan ketiganya berusia 13 dan 10 tahun sudah selamat dikhatankan secara percuma dalam Program Khatan Perdana di sini hari ini.
“Dua anak lelaki saya memang tidak sabar untuk menyertai program berkhatan seperti rakan sebaya mereka namun kami memujuk mereka untuk menangguh hasrat itu selama tiga tahun atas faktor kewangan.
“Lima daripada enam saya merupakan anak lelaki dan hanya seorang yang berpeluang untuk bersunat sebelum ini,” katanya ditemui dalam program tersebut anjuran Pemuda UMNO Pasir Gudang.
Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambrose menyempurnakan program berkenaan.
Sahzelemah berkata, kos berkhatan yang mencecah kos lebih RM200 di klinik swasta mengakibatkan keluarganya menangguh hasrat bagi membenarkan dua anak lelakinya itu untuk bersunat sejak tiga tahun lalu.
Jelasnya, ini kerana dengan pendapatan suaminya yang bekerja sebagai pekerja kilang hanya RM1,400 sebulan dan perlu mengutamakan belanja sekolah dan dapur.
“Memang anak kedua dan ketiga kami pernah meminta untuk menyertai program berkhatan bersama-sama rakan mereka namun kami memujuk mereka untuk menangguh hasrat berkenaan atas faktor kewangan.
“Sedangkan soal makanan kami hanya makan apa yang ada saja, ini pula perlu membelanjakan kos tinggi untuk berkhatan.
“Tambahan pula anak bongsu perempuan kami hanya berusia enam bulan dan masih memerlukan bekalan susu dan lampin pakai buang, oleh itu kami perlu berjimat,” katanya.
Dia berkata, apabila mengetahui berkenaan program khatan percuma beberapa hari lalu sebelum mendaftarkan penyertaaan kedua-dua anaknya itu.
Sementara itu, Noor Azleen berkata, program berkenaan disertai 30 kanak-kanak yang berasal daripada keluarga asnaf di sekitar Plentong di sini.
Menurutnya, kanak-kanak terbabit turut dimandikan dengan semburan air disediakan pasukan bomba dan penyelamat sambil disaksikan lebih 100 tetamu sebelum dikhatan.
“Sesi berkhatan percuma itu dianjurkan bagi membantu kanak-kanak dan waris yang kurang berkemampuan bagi melaksanakan tuntutan agama.
“Ia juga menjadi antara aktiviti pengisian ketika cuti sekolah,” katanya.- MalaysiaGazette