Gambar hiasan

UNIVERSITI Malaysia Terengganu (UMT) hari ini berdiri megah sebagai institusi yang dikenali dalam bidang sains marin dan maritim, namun perjalanannya bermula dengan langkah sederhana sebagai cabang Universiti Putra Malaysia (UPM).

Pada mulanya, ia beroperasi sebagai Pusat Perikanan dan Sains Marin di Mengabang Telipot, Kuala Terengganu, sebuah lokasi strategik di pantai timur Semenanjung Malaysia.

Ketika itu, pusat ini berfungsi sebagai hab pembelajaran dan penyelidikan bagi pelajar Sains Kelautan dan Perikanan UPM, dengan menyediakan kemudahan kerja lapangan dan eksperimen makmal.

Setelah melalui pelbagai fasa evolusi, akhirnya pada 1 Februari 2007, kampus yang damai itu mencapai status universiti penuh dan secara rasmi dikenali sebagai Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

UMT hari ini bukan sekadar institusi akademik biasa, tetapi sebuah universiti yang terus melakar pencapaian dalam pelbagai bidang.

Walaupun Fakulti Pengajian Maritim dan Sains Marin kekal sebagai program teras, UMT turut menawarkan pelbagai kursus lain yang relevan dengan pasaran kerja.

Dengan penawaran hampir 40 program pengajian merangkumi bidang sains hayat, ekonomi, perniagaan, pengurusan, pengkomputeran dan matematik, UMT terus memastikan graduannya bersedia memenuhi keperluan industri seiring perubahan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Perkembangan UMT juga tidak terhad kepada bidang akademik semata-mata. Universiti ini semakin dikenali sebagai pusat penyelidikan bertaraf antarabangsa, terutama dalam kajian sains kelautan dan sekitaran.

Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) yang diiktiraf oleh pelbagai badan peringkat antarabangsa, giat menjalankan kajian dalam bidang oseanografi fizikal, biodiversiti lautan, pencemaran marin dan informatika marin.

Selain itu, UMT juga menjadi peneraju dalam penyelidikan akuakultur melalui Institut Akuakultur Tropika (AKUATROP), yang terus mengungguli teknologi baharu dalam penternakan ketam nipah, udang dan spesies akuatik bernilai tinggi.

Dalam bidang bioteknologi, UMT turut melangkah ke hadapan dengan pelancaran OptiFeed, makanan akuakultur yang diformulasikan untuk menyediakan nutrien optimum kepada spesies akuatik.

Selain itu, Institut Adaptasi Iklim dan Bioteknologi Marin (ICAMB) terus meneroka potensi sumber laut dengan penyelidikan mengenai penggunaan kolagen obor-obor untuk rawatan luka dan ekstrak rumpai laut untuk aplikasi antifouling.

Bagi mereka yang mencari keseimbangan antara akademik dan gaya hidup santai, UMT menawarkan lokasi yang strategik di Kuala Terengganu.

Kawasan sekitar universiti mempunyai pelbagai tarikan menarik seperti Pantai Telkuk Ketapang, Dataran Jambatan Angkat (Drawbridge) Kuala Terengganu Waterfront, Pantai Batu Burok yang menjadi tempat ideal untuk bersantai, menikmati pemandangan laut dan sungai atau sekadar menikmati makanan enak bersama rakan-rakan yang kini lebih dikenali sebagai ‘port healing’.

Selain menawarkan suasana yang mendamaikan dengan lanskap yang cantik, Pulau Duyung pula menampilkan warisan pembuatan perahu kayu tradisonal yang masih dikekalkan hingga ke hari ini.

Bagi pencinta alam pula, Pulau Redang, Pulau Kapas dan Pulau Perhentian yang terletak tidak jauh dari UMT menawarkan pengalaman snorkeling dan menyelam yang luar biasa.

Di samping keindahan pantai berpasir putih yang menjadi habitat penyu laut sering bertelur khususnya di Chagar Hutang, Pulau Redang.

Dengan gabungan akademik bertaraf dunia, penyelidikan inovatif dan keindahan alam semula jadi, UMT terus berkembang sebagai sebuah universiti yang bukan sahaja melahirkan graduan berkualiti tetapi juga menyumbang kepada pembangunan negara dalam bidang maritim dan sains marin selain giat menyebarkan kempen kesedaran pemuliharaan alam semula jadi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here