JOHOR BHARU – Sebanyak 247 buah Institusi Pendidikan Islam Swasta (IPIS) dikesan di negeri ini sedang beroperasi tetapi masih tidak berdaftar bawah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, langkah tersebut perlu dilakukan bagi mengawal dan memastikan institusi tersebut diurus tadbir dengan baik bagi menjaga kebajikan pelajar.
Jelasnya, ini termasuk diajar akidah yang berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran al-Asya’irah dan al-Maturidiah, syariah fiqh mazhab As-Syafie di samping meraikan mazhab al-Hanafi, al-Maliki dan al-Hanbali, tasawuf Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali.
“Selain itu, ia juga bagi menjaga kebajikan kakitangan yang berkhidmat di IPIS tersebut dan menyediakan guru-guru yang bertauliah.
“Justeru, mana-mana IPIS yang beroperasi tanpa didaftarkan walaupun dalam peringkat pendidikan awal kanak-kanak adalah menjadi satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru katanya, kerajaan negeri menyeru semua IPIS terbabit untuk mendaftar mengikut kehendak Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (EPSAI) 1991.
Katanya, Pendaftaran boleh dilakukan melalui mana-mana Pejabat Pendidikan Islam Daerah (PPID) di seluruh negeri.
“Adalah menjadi tanggungjawab mana-mana individu atau organisasi bukan kerajaan untuk mematuhi peraturan ini demi menjaga kesucian agama Islam yang menjadi tanggungjawab semua pihak,” tegasnya.
Beliau memberitahu, sehingga kini sebanyak 229 buah IPIS telah berdaftar dengan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
Jumlah itu katanya, merangkumi 40 Sekolah Rendah Islam Swasta (SRIS), 10 Sekolah Menengah Islam Swasta (SMIS), 149 Maahad Tahfiz Swasta (MTS), 22 Madrasah Pondok Swasta (MPS) dan lapan Madrasah Malabar Johor (MMJ).
“Terdapat 25 buah IPIS yang sedang melengkapkan proses pendaftaran dan 247 buah lagi yang diketahui sedang beroperasi namun belum memulakan proses pendaftaran,” katanya.
Kerajaan negeri dan MAINJ ujarnya, amat menitikberatkan perkembangan syiar Islam khususnya dalam bidang pendidikan Islam yang telah melangkaui 100 tahun pelaksanaannya di negeri ini.
Pelbagai usaha bagi menambahbaik sistem pendidikan Islam merangkumi pemerkasaan enakmen dan undang-undang, kebajikan dan latihan pengajar, naik taraf prasarana termasuk pendigitilan pendidikan terus dipertingkatkan, katanya.
Semua usaha tersebut kata Mohd Fared, agar pendidikan Islam negeri Johor terus dipelihara dan diperkasa secara terancang bagi menjaga kesucian agama Islam.
“Kerajaan juga menyedari dan menghargai peranan yang dimainkan oleh mana-mana individu atau organisasi bukan kerajaan dalam menyumbang perkembangan pendidikan Islam namun institusi yang ditubuhkan wajib didaftarkan sebagaimana kehendak
EPSAI 1991,” katanya.
Tambahnya, ini termasuk mana-mana sekolah agama Islam swasta, masjid, madrasah, surau, pusat Islam, balai Islam, pondok dan tadika yang diajarkan agama Islam tetapi tidak termasuk sekolah agama bawah kawalan Kementerian Pendidikan dan kerajaan negeri. – MalaysiaGazette