Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah membuat kesilapan apabila mewujudkan Akaun Fleksibel menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) apabila dianggap tidak berjaya membantu rakyat yang memerlukan wang.

Sebaliknya Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa akaun itu disalahgunakan golongan tertentu untuk memenuhi kehendak bukannya demi keperluan.

Katanya, kerajaan sepatutnya melaksanakan pengeluaran KWSP secara bersasar seperti yang digesa pelbagai pihak sebelum ini.

“Yang patut dibuat ialah buat dasar pengeluaran betul-betul bersasar bukan saya kata suka hati boleh keluar untuk semua.

“Simpanan untuk hari tua amat diperlukan tapi kalau untuk hari tua pun tidak boleh tunggu guna wang itu sebab hari ini pun tidak boleh untuk hidup apabila rumah dilelong, kereta ditarik, bil rawatan hospital tidak boleh bayar, bayar ah long lagi,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini membahas Titah Diraja hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Saiful mendakwa terdapat sekelompok rakyat yang mempunyai wang KWSP mencecah jutaan ringgit namun hidup dalam keadaan susah dan memerlukan hanya kerana tidak dapat mengeluarkan wang sendiri.

Malah kelompok ini sebenarnya tidak memerlukan bantuan tunai daripada kerajaan sebaliknya hanya perlu dibenarkan mengeluarkan wang mereka daripada akaun masing-masing sahaja.

“Saya bercakap tentang kelompok yang bagi saya dizalimi dengan dasar kerajaan iaitu mereka yang ada puluhan ribu, ratusan ribu mencecah jutaan ringgit dalam akaun KWSP masing-masing, mereka ini sepatutnya bukan golongan yang terima bantuan sara hidup bulanan bukan sepatutnya yang pergi merayu untuk dapatkan duit zakat.

“Malah bagi saya mereka tidak layak terima, sebab duit mereka ada dalam akaun masing-masing,” ujarnya.

Wan Saiful berkongsi cerita pernah berjumpa dengan pekerja pencuci pinggan di sebuah kedai makan yang sebenarnya mempunyai wang sebanyak RM1.3 juta dalam akaun KWSP.

Beliau turut mendakwa ada yang tidak mampu membayar kos rawatan hospital meskipun mempunyai lebih kurang RM1.8 juta dalam akaunnya.

“Macam mana kita nak buat? Sebab itu bagi saya penyelesaian kerajaan kononnya mewujudkan Akauan 3 (Fleksibel) adalah tidak efektif dan berkesan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here