KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin mempersoalkan kewajaran dalam keputusan kerajaan untuk menaikkan tarif elektrik dan meluaskan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serentak.
Katanya, kedua-dua dasar itu boleh memberi tekanan kepada rakyat yang masih bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi.
Jelas beliau lagi, sebarang keputusan untuk menaikkan tarif dan cukai pastinya akan mendorong kepada peningkatan harga barangan yang seterusnya menambah beban rakyat.
“Sekali harga barang naik amat sukar ia turun jadi saya cuba memahami apakah rasional kerajaan melaksanakan polisi-polisi ini secara serentak?
Kerana ia akan terus menerus memberi tekanan kepada harga barangan dan kos sara hidup rakyat pada waktu yang hampir sama.
“(Saya berpendapat) ada banyak kemungkinan untuk menjelaskan tindakan ini.
”Cuma saya ingin bertanya, adakah kerajaan pada waktu ini mengikut model yang dicadangkan oleh pihak tertentu yang hanya ingin melihat kerajaan mengurangkan kadar defisit negara dengan cara apa sekalipun tanpa mengira kesannya kepada rakyat.
“Atau kedua, apakah tindakan kerajaan melaksanakan pelbagai dasar yang menekan rakyat secara serentak ini bagi membolehkan kerajaan mengurangkan belanja bagi tahun pertama hingga ketiga pentadbiran PH-BN?
”Dan apakah dengan mengurangkan (beban kewangan itu), kerajaan boleh umumkan gula-gula pilihan raya apabila hampir ke PRU-16?
”Jika inilah strateginya maka kerajaan tidak berlaku adil kepada rakyat,” katanya ketika sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat pada hari ini.
Bagaimanapun, kenyataan Radzi itu dicelah Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin yang menyifatkanya sebagai sangkaan jahat.
Situasi itu menyebabkan dewan kecoh beberapa minit sebelum Radzi menutup ucapan perbahasannya.
Sim menegaskan, Ahli Parlimen PN itu sepatutnya mencadangkan penyelesaian kepada kerajaan dan bukannya hanya melemparkan kritikan.
Malah tambahnya, PN tidak pernah sekali pun mengemukakan bajet alternatif.
“(Ahli Parlimen) Putrajaya mengecam kerajaan tidak ada belas kasihan, mencekik rakyat dan sebagainya. Tapi rakyat masih ingat semasa Putrajaya masih lagi seorang Menteri (di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin) rakyat sampai perlu naikkan bendera putih kerana susah. Itu pengalaman pahit yang orang masih ingat.
“Kedua, apa yang Putrajaya kritik tapi tidak ada penyelesaian daripada pihak pembangkang, tidak ada bajet alternatif tidak ada apa sebab itu rakyat tidak ada keyakinan kepada PN,” menurutnya.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa sebarang kenaikan tarif elektrik yang akan dilaksanakan separuh kedua tahun 2025 tidak akan membebankan atau merugikan komuniti perniagaan.
Beliau turut menegaskan bahawa isi rumah berpendapatan rendah akan terus tidak terjejas oleh semakan tarif yang dijadualkan bagi separuh kedua tahun ini.
Pada masa ini, Kerajaan memberikan subsidi elektrik kepada lebih 85 peratus isi rumah.
Untuk rekod, tarif asas elektrik di Malaysia ditetapkan oleh Suruhanjaya Tenaga di bawah kerangka Kawalselia Berasaskan Insentif (IBR) dan disemak setiap tiga tahun.
Selain itu, Anwar semasa membentangkan elanjawan 2025 berkata kerajaan akan memperluaskan skop SST meliputi perkhidmatan komersil antaranya perniagaan seperti perkhidmatan kewangan berasaskan fi. -MalaysiaGazette