Danish Fiqri (dua kanan) diiringi ibunya serta guru dan rakan sekolah di KLIA baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Seorang pelajar cemerlang Sekolah Menengah Setiabudi, Danish Fiqri Johari berusia 16 tahun menjadi wakil tunggal dari Malaysia dalam Pertandingan Actions For Earth Award & Global Youth Summit 2025.

Acara itu akan berlangsung di Surabaya, Malang, dan Blitar, Indonesia, dari 13 hingga 17 Februari 2025.

Selama lima hari, para peserta Global Youth Summit 2025 akan menumpukan perhatian kepada kesan ekologi secara global, kata satu kenyataan.

“Semua delegasi akan bekerjasama dengan erat untuk berkongsi idea, mencari penyelesaian dan mencipta rekaan inovatif yang bertujuan untuk mengatasi masalah-masalah kesan ekologi terhadap alam sekitar,” katanya.

Danish Fiqri dibimbing oleh seorang guru pengiring yang sangat berpengalaman dalam bidang kelestarian alam sekitar di sekolah, Nurul Hidayah Abdul Kudus yang telah menjadi penasihat kepada projek-projek berasaskan reka cipta kelestarian alam sekitar sejak tahun 2022.

Tema utama bagi Global Youth Summit 2025 adalah Kesan Ekologi.

Danish Fiqri akan mempersembahkan rekaan beliau iaitu projek “Eco-fashion: Aplikasi Dunia Sebenar” dan projek itu telah pun dijalankan di sekolah untuk mengurangkan pengumpulan sisa fabrik seterusnya bertujuan untuk mengurangkan jejak karbon.

Individu atau pasukan yang berjaya menyampaikan penyelesaian dan solusi terbaik untuk isu Kesan Ekologi dalam Pertandingan Actions For Earth Award akan memenangi hadiah sebanyak SGD 10,000. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here