KUALA LUMPUR -Polis dan kerajaan mesti mendedahkan statistik nahas jalan raya maut dalam tempoh 10 tahun kebelakangan membabitkan mangsa ditemui tanpa memakai tali pinggang keselamatan tetapi menggunakan aksesori cangkuk tali pinggang keledar palsu.
Sudah bertahun-tahun, berdasarkan maklumat dari anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat serta polis yang tiba di tempat kejadian, terdapat beberapa nahas jalan raya di mana penumpang atau pemandu tidak menggunakan tali pinggang keselamatan tetapi apa yang dijumpai adalah cangkuk tali pinggang keledar palsu di dalam kenderaan.
Aktivis keselamatan jalan raya, Shahrim Tamrin berkata, penemuan awal tali pinggang keselamatan digantikan dengan cangkuk palsu dalam kereta penumpang pertama kali dijumpai di nahas jalan raya adalah pada 2014 di Jalan Kota Tinggi-Pengerang, Johor.
“Pihak berkuasa sudah lama mengetahui tentang trend membimbangkan ini sejak 10 tahun lalu, namun tiada tindakan serius diambil.
“Lima tahun lalu, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) juga telah cuba untuk mencetus titik membanteras di kalangan pelbagai agensi kerajaan tetapi usaha itu sia-sia.
“Apabila melihat ketiadaan sikap kerjasama antara agensi untuk menghentikan penjualan atau mengisytiharkan perang terhadap alat sedemikian, ia adalah gambaran jelas menunjukkan komitmen kerajaan yang begitu longlai untuk menyelamatkan nyawa di jalan raya,” katanya dalam kenyataan di sini.
Shahrim, yang juga bekas ahli lembaga pengarah MIROS menegaskan, berdasarkan kajian yang dijalankan oleh penyelidik MIROS, antara penemuan daripada beberapa nahas maut ialah tiga kematian (pemandu, penumpang depan dan belakang) pada 23 Ogos 2018 berhampiran Gua Musang, Kelantan melibatkan Perodua Myvi.
Seorang maut pada 25 Mei 2020, di Jalan Kuantan-Gebeng, Pahang dalam nahas dua kereta terlibat perlanggaran hadapan (Toyota Yaris & Toyota C-HR) dan nahas Mitsubishi Lancer berhampiran dengan Port Dickson lapan tahun lalu.
“Berdasarkan kajian penyelidikan MIROS yang diterbitkan lima tahun lalu, persamaan dapatan antara tiga nahas jalan raya yang disebutkan di atas adalah kesemua nahas tersebut didapati penggunaan cangkuk palsu (tiada penggunaan tali pinggang keledar).
“Ia mengakibatkan mangsa tercampak keluar dari kenderaan atau mengalami hentakan kuat pada stereng atau papan pemuka kenderaan yang membawa kepada kematian, kata kertas kajian tersebut,” ujar beliau.
Malangnya, Shahrim menambah, para pemberita atau penulis sering diminta oleh ahli keluarga mangsa dan pegawai penyiasat supaya tidak menulis laporan berita susulan nahas mengenai kegagalan penumpang atau pemandu menggunakan tali pinggang keledar depan atau belakang.
“Alasannya laporan berita demikian akan menjejaskan siasatan nahas dan mengganggu proses tuntutan insurans, apatah lagi kehadiran cangkuk palsu dalam kereta,” jelas beliau.
Shahrim melahirkan rasa kecewa apabila Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan mendedahkan terdapat trend peningkatan penumpang kenderaan yang menggunakan cangkuk palsu atau “dummy buckeles” untuk memadamkan bunyi amaran penggera tali pinggang keledar dan bukannya ingin memakai tali pinggang keledar dengan betul.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan Hanif Yusabra Yusuf telah menyebut, lebih 30% pengguna jalan raya didapati menggunakan aksesori itu, yang menyerupai tali pinggang keledar sebenar, daripada 195 kenderaan yang ditahan tidak menggunakan tali pinggang keselamatan.
“Ini adalah sesuatu sungguh memeritkan untuk kita pelajari hari ini, walaupun kini telah wujud Jawatankuasa peringkat Kabinet Khas bagi keselamatan jalan raya dan kesesakan, bahawa kita masih belum mendengar Kementerian Pengangkutan, JPJ, polis serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mahu memulakan larangan menyeluruh terhadap penjualan cangkuk tali pinggang keledar palsu atau mengisytiharkan perang terhadap barangan tersebut.
“Sehingga ke hari ini, Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia masih lagi tidak aktif dan dalam keadaan layu kerana tiada diadakan Mesyuarat Agung Tahunan sudah lima tahun. Jadi apakah kerajaan benar-benar serius mahu mengurangkan jumlah nahas dan kematian di jalan raya?” tanya Shahrim.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar kerajaan mengambil pendekatan baharu, jitu dan berterusan dalam menjalankan komunikasi keselamatan jalan raya untuk mengingatkan pengguna jalan raya supaya menggunakan tali pinggang keselamatan yang merangkumi pemandu, penumpang depan dan belakang serta sistem keselamatan tempat duduk kanak-kanak. – MalaysiaGazette