Bekas Menteri Agama, Datuk Seri Jamil Khir Baharom hadir sebagai saksi perbicaraan kes 1MDB yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak, di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 12 FEBRUARI 2025

PUTRAJAYA – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom, mendakwa beliau pernah mendengar sendiri janji sumbangan kewangan yang dibuat oleh Raja Arab Saudi ketika itu, Raja Abdullah, Datuk Seri Najib Razak sekitar tahun 2010.

Beliau yang turut hadir dalam pertemuan tidak rasmi di Riyadh, Arab Saudi antara Raja Abdullah dan bekas Perdana Menteri itu menambah, perbualan itu tidak berlaku di hadapan umum sebaliknya hanya antara Najib, Almarhum dan seorang jurubahasa.

Bagaimanapun, kata Jamil, Najib memberi isyarat kepadanya untuk menghampiri mereka ketika perbualan sulit itu selepas mesyuarat bersama delegasi yang hadir.

“Sebenarnya hubungan antara Najib dan Almarhum Raja Abdullah sangat rapat seperti anak dan bapa. Malah ketika berjalan, kedua-dua mereka berpegangan tangan.

“Dalam perbualan itulah Raja Abdullah menyatakan hasratnya untuk memberi sumbangan kewangan secara peribadi kepada Najib, dan dana itu akan disalurkan terus ke akaun peribadi mantan Presiden UMNO itu atas sebab-sebab tertentu.

“Jika saya tidak silap, Raja Abdullah menyebut bahawa sumbangan itu akan dihantar tidak lama selepas tarikh pertemuan tersebut, dan ia akan dimasukkan ke akaun peribadi Najib,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi saksi pembelaan ketujuh (DW7) pada prosiding bela diri penyelewengan dana 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah di sini hari ini.

Sambung beliau, dirinya faham mengapa dana itu masuk ke akaun peribadi bagi mengelakkan sebarang komplikasi jika dana tersebut disalurkan kepada parti politik atau entiti lain.

Dalam pada itu, Jamil juga mendakwa sumbangan derma Arab itu lebih kepada memastikan kestabilan Malaysia sebagai negara Islam sederhana, serta memperkukuh kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri menjelang pilihan raya umum 2013 ketika itu.

Selain itu, Jamil menolak cadangan pendakwaan bahawa sumbangan derma itu perlu dimaklumkan dalam Kabinet sebaliknya kata beliau, sumbangan itu adalah politik dan tidak berkaitan dengan pembangunan negara yang memerlukan kelulusan.

Prosiding bersambung esok.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Najib, 71, yang menghadapi empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here